Pertubuhan kemanusiaan serah memo pada PM berkait penipuan kerja

Pertubuhan kemanusiaan serah memo pada PM berkait penipuan kerja

Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) menggesa Putrajaya mengetatkan peraturan bagi mereka di bawah umur 40 tahun yang berkunjung ke negara berisiko tinggi.

Wakil MHO merayu Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob untuk menyelamatkan mangsa penipuan kerja.
PETALING JAYA:
Sebuah kumpuan pertubuhan kemanusiaan menggesa kerajaan mengetatkan peraturan bagi pencari kerja bawah umur 40 tahun yang berkunjung ke negara berisiko tinggi seperti Kemboja, Laos dan Vietnam.

Dalam memorandum yang diserahkan kepada Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob, Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) mencadangkan, kerjasama antara Wisma Putra dan Kementerian Dalam Negeri untuk memastikan hanya syarikat berdaftar dan mereka mendapat kelulusan daripada kerajaan Malaysia dan kerajaan negara berkaitan boleh mendapatkan pekerja dari negara ini.

Bulan lalu, dilaporkan 238 rakyat Malaysia telah menjadi mangsa sindiket penipuan pekerjaan, dengan polis menyatakan, 168 orang masih terkandas di luar negara.

Setiausaha Agung MHO, Hishamuddin Hashim yang menandatangani memorandum itu, berkata terdapat beberapa mangsa yang cuba membuat laporan kepada pihak berkuasa tempatan di luar negara tetapi tidak berjaya.

“Mangsa berpendapat, sindiket ini mempunyai pengaruh kuat terhadap pihak berkuasa tempatan di negara mereka,” katanya dalam memorandum itu.

Beliau juga mendakwa, keluarga mangsa telah melaporkan penipuan sedemikian kepada pihak berkuasa Malaysia dan meminta bantuan daripada kerajaan dan kedutaan Malaysia.

“Bagaimanapun, mereka tidak mendapat maklum balas positif kononnya tindakan yang diambil itu dikatakan tidak mencukupi,” katanya.

Memorandum itu diterima oleh Khairul Nizam Mohamad Zuldin, salah seorang setiausaha politik Ismail.

Hishamuddin berkata, pertubuhannya sedang mendapatkan bantuan Ismail untuk menyiasat perkara itu dengan segera dan memberi bantuan serta sokongan kepada rakyat Malaysia yang telah ditipu oleh sindiket berkenaan.

Awal bulan ini, seramai 24 rakyat Malaysia yang menjadi mangsa penipuan pekerjaan di Kemboja pulang ke tanah air bersama Menteri Luar Saifuddin Abdullah, yang berada di Phnom Penh dalam lawatan kerja.

Saifuddin berkata, daripada 148 kes yang dilaporkan, 118 rakyat Malaysia yang menjadi mangsa penipuan pekerjaan dan pemerdagangan manusia di Kemboja telah diselamatkan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.