
Presidennya Raduan Che Rose menganggap kenyataan Thomas tidak bertanggungjawab dan boleh merosakkan perpaduan di antara kaum.
“MPN memberi amaran keras kepada Tommy Thomas untuk tidak menangguk di air keruh serta memporak-perandakan kesepaduan antara kaum di negara tercinta ini dengan membuat kenyataan-kenyataan berbaur hasutan dan rasis.
“Mengaitkan kerajaan pada hari ini sebagai kerajaan dominasi sesuatu kaum sangat tidak tepat kerana kerajaan ini didokong oleh semua kaum (MCA, MIC) termasuk parti-parti pelbagai kaum daripada Sabah dan Sarawak,” katanya dalam kenyataan.
Katanya, negara mula menyaksikan pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) bagi suku kedua 2022 iaitu sebanyak 8.9% yang sekaligus menjadi petunjuk jelas prestasi kerajaan sekarang dalam memulihkan ekonomi.
“Ini menunjukkan polisi diperkenal kerajaan untuk membina semula keyakinan pelabur tempatan dan luar negara bagi memulihkan ekonomi berada di landasan yang betul.
“Malaysia juga berada di tempat ketiga oleh Global Business Service (GBS) selepas India dan China dari segi khidmat perniagaan global yang secara langsung menunjukkan kepercayaan dunia kepada khidmat perniagaan global,” tambahnya.
Terdahulu, media melaporkan Tommy mendakwa dua pentadbiran selepas Pakatan Harapan (PH) pada 2020 yang didominasi pemimpin Melayu sebagai kerajaan gagal, ketika menghadiri forum di Kuala Lumpur.
Tommy berkata, kerajaan yang mentadbir negara ketika ini menggambarkan konsep “ketuanan Melayu”.