
“Dr Jeyakumar bercakap berhemah, bercakap apa yang kita harapkan daripada kepimpinan politik pada hari ini. Orang yang dapat mengimbang. Beliau punya cara yang tidak menimbulkan kemarahan pihak-pihak tertentu.
“Beliau objektif dan rasional, bolehkah kita harapkan dialog sebegini daripada DAP?” soal Zaid dalam video yang dimuat naik di Facebook.
Zaid merujuk ucapan Jeyakumar dalam forum politik pada Sabtu, di mana beliau mencabar pemikiran bukan Melayu lazim yang mencadangkan bahawa hanya orang Melayu mempamerkan “kuasa gelap” dalam penggubalan dasar kaum dan etnik.
Jeyakumar juga berkata, Dasar Ekonomi Baharu tidak harus dilihat semata-mata dari lensa diskriminasi. Objektifnya adalah membetulkan ketidakseimbangan kaum pada masa lalu, katanya.
Presiden PSM itu juga bercakap mengenai ekonomi dan perindustrian, dengan berkata perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di negara ini didominasi oleh komuniti Cina, yang mengupah sangat sedikit orang Melayu.
Bagaimanapun, Zaid yang juga bekas menteri undang-undang mempertikaikan kenyataan Thomas pada forum yang sama.
“(Thomas) berucap panjang lebar tentang kegagalan kepimpinan Melayu. Katanya, kalau Jemaah Menteri itu ramai orang Melayu, maka gagallah kerajaan itu. Saya rasa isu-isu perkauman ini, stereotaip ini, tidak menguntungkan.
“Jadi saya nak tanya, Melayu yang mana boleh diterima oleh DAP?
“Ini penting kerana pengundi-pengundi Melayu nak tahu (orang) Melayu yang disokong oleh PH ini, mereka ini (jenis) yang berguna atau sebaliknya?
“Atau apakah mereka ini diperguna untuk DAP semata-mata?” soal Zaid sambil menambah, pengundi perlu tahu ciri-ciri pemimpin Melayu yang “direstui” DAP.
Beliau meminta kepimpinan DAP menyatakan sama ada ia bersetuju dengan analisis Thomas mengenai perkara itu, dan berkata parti itu mesti mengeluarkan kenyataan sekiranya tidak bersetuju.
Walaupun mengakui bahawa rasisme memang wujud di Malaysia, Zaid berkata, tidak betul sepenuhnya menyalahkan kepimpinan Melayu.
“Kalau kita nak selesai soal-soal perkauman, jika rasisme menjadi masalah di negara ini, marilah kita bercakap secara teratur, secara sopan, berasaskan fakta-fakta tertentu,” katanya.
Zaid juga berkata, tidak cukup untuk Umno sekadar “berteriak” meminta Parlimen dibubarkan.
“Kita hendaklah berteriak tentang kerajaan kita, apakah keutamaan yang akan diberi? (Jenis pemimpin) macam mana yang kita ketengahkan?
“Kita mesti mencari satu parti kerajaan yang bertanggungjawab, yang berfungsi dan boleh melakukan yang terbaik untuk rakyat,” katanya.