Isytihar harta sebelum, ketika dan selepas jawat jawatan

Isytihar harta sebelum, ketika dan selepas jawat jawatan

Ahli Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil mahu pengisytiharan harta dilakukan sebelum seseorang itu dilantik, ketika tempoh lantikan, dan selepas tamat perkhidmatan.

Ahli Parlimen Pembangkang Hassan Karim, Fahmi Fadzil dan Maria Chin Abdullah telah menggesa langkah tambahan terhadap pengisytiharan aset.
PETALING JAYA:
Ahli Parlimen pembangkang menyambut baik dasar baharu kerajaan yang mengwajibkan ahli badan kehakiman dan ketua syarikat berkaitan kerajaan mengisytiharkan harta mereka.

Bagaimanapun, kata mereka, banyak lagi usaha yang perlu dilakukan untuk membendung masalah rasuah.

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim mahu dasar itu lebih meluas termasuk harta milik isteri dan anak-anak pegawai berkenaan serta mereka yang membuat pengisytiharaan palsu dikenakan dakwaan jenayah.

Katanya, orang ramai juga perlu dibenarkan meneliti pengisytiharan itu dengan disiarkan di laman web Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi memastikan ia benar.

Ahli Parlimen Lembah, Pantai Fahmi Fadzil pula berkata, pengisytiharan tanpa mendedahkan data peribadi harus boleh diakses orang ramai sepanjang tahun.

Pengisytiharan perlu dilakukan sebelum seseorang itu dilantik, ketika menjawat sesuatu jawatan, secara tahunan, dan selepas tamat perkhidmatan.

Sementara itu, Ahli Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah mahu pengisytiharan harta dikenakan terhadap ketua yang mempunyai kuasa eksekutif untuk meluluskan dan memperoleh aset atau projek.

Tambahnya, Ahli Parlimen dan senator juga perlu tertakluk dengan peraturan itu, kerana ada ahli parlimen terutama dari kerajaan yang tidak mengisytiharkan harta mereka.

Dasar pengisytiharan harta diumumkan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob hari ini dan beliau turut memberitahu, kod etika baru untuk ahli parlimen juga akan diperkenalkan.

Katanya, Kabinet memutuskan untuk membentuk jawatankuasa bagi memantau pemindahan pegawai tempatan untuk membendung rasuah dan kewujudan “little Napoleons”.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.