Azalina kemuka usul pinda Perlembagaan beri kerakyatan anak lahir luar negara

Azalina kemuka usul pinda Perlembagaan beri kerakyatan anak lahir luar negara

Ahli Parlimen Pengerang itu mengemukakan usul terbabit pada 15 Sept lalu untuk dibahas dalam sidang Dewan Rakyat akan datang.

Azalina Othman Said mengemukakan usul itu bagi meminda Bahagian II Jadual Kedua Perlembagaan untuk memasukkan perkataan ‘atau ibunya’ selepas perkataan ‘bapanya’.
PETALING JAYA:
Ahli Parlimen Pengerang, Azalina Othman Said mengemukakan usul bagi meminda Perlembagaan untuk memberi kerakyatan kepada anak lahir di luar negara oleh ibu warganegara Malaysia supaya dibahas dalam sidang Dewan Rakyat akan datang.

Usul itu dikemukakan kepada Setiausaha Dewan Rakyat, Nizam Nydin Bacha Mydin pada 15 Sept lalu untuk dibahaskan dalam sidang Dewan Rakyat yang dijadualkan berlangsung selama 32 hari bermula 3 Okt hingga 29 Nov ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Hal Ehwal Wanita dan Kanak-kanak dan Pembangunan Sosial itu berkata, usul itu bagi meminda Bahagian II Jadual Kedua Perlembagaan – (c) dalam Fasal (1)(b) dan (d) dalam Fasal (1)(c), dengan memasukkan perkataan “atau ibunya” selepas perkataan “bapanya”.

Katanya, Subfasal 2(a) dan 2(b) bertujuan memasukkan perkataan “atau ibunya” untuk melanjutkan kewarganegaraan bagi orang yang lahir pada atau selepas hari Malaysia melalui kuat kuasa undang-undang.

Dalam keputusan berbelah bahagi, Mahkamah Rayuan pada 5 Ogos lalu memutuskan anak lahir di luar negara oleh ibu warga Malaysia yang berkahwin dengan warga asing, tidak berhak mendapat kerakyatan Malaysia dari segi undang-undang.

Pengerusi panel hakim itu, Kamaludin Md Said dan Azizah Nawawi menjadi majoriti bersetuju, manakala S Nantha Balan membantah.

Majoriti berkata, istilah “bapa” dalam Jadual Kedua Bahagian 11 Perlembagaan bermakna bapa kandung dan tidak boleh diperluaskan kepada ibu atau ibu bapa.

Kamaludin dan Azizah, yang menyatakan mereka mengikuti prinsip undang-undang dalam keputusan Mahkamah Persekutuan tahun lepas berkata, terpulang kepada Parlimen, bukannya mahkamah untuk meminda Perlembagaan.

Tahun lepas, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan kerajaan perlu memberi kerakyatan kepada anak dilahirkan ibu rakyat Malaysia di luar negara kerana istilah “bapa” dalam Jadual Kedua Perlembagaan perlu merangkumi ibu.

Beberapa Ahli Parlimen hari ini mengemukakan notis untuk membentangkan rang undang-undang (RUU) persendirian bagi meminda Perlembagaan Persekutuan berhubung isu kewarganegaraan bagi kanak-kanak yang dilahirkan wanita Malaysia di luar negara.

Mereka ialah Azalina, Fuziah Salleh (PKR-Kuantan), Fahmi Fadzil (PKR-Lembah Pantai), Alice Lau Kiong Yieng (DAP-Lanang), and Hannah Yeoh (DAP-Segambut).

Bulan lalu sebuah NGO, Family Frontiers, dan enam ibu warga Malaysia memfailkan rayuan di Mahkamah Persekutuan dalam usaha mereka supaya ibu warga Malaysia diberikan hak yang sama seperti lelaki rakyat Malaysia untuk memberikan kewarganegaraan kepada anak mereka yang lahir di luar negara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.