
Salahuddin Ayub yang juga timbalan presiden Amanah berkata, Umno sanggup mengetepikan kesusahan dialami rakyat ketika musim banjir untuk memenuhi hasrat mereka mengadakan PRU.
“Kalau dia (Umno) buat, Umno memang tidak berhati perut. Dalam musim banjir, rakyat kesusahan bila kemusnahan berlaku, rumah dinaiki air, perabot hilang, tiba-tiba mahu buat PRU.
“Jika Umno tetap mahukan ada PRU, saya berharap rakyat menolak mereka, tiada sedikit pun simpati pada rakyat,” katanya ditemui selepas ucapan penangguhan Konvensyen Nasional Amanah 2022.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Zahid yang memberi bayangan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob boleh membubar Parlimen selepas pembentangan Bajet 2023 pada Oktober ini iaitu ketika musim banjir.
Zahid ketika pelancaran jentera Pemuda BN di Stadium Titiwangsa semalam dilaporkan berkata, jentera BN juga sudah bersiap siaga sekiranya PRU15 diadakan pada November ini, iaitu ketika negara menghadapi musim banjir.
“Kita tahu ada banjir, namun sanggup rendah banjir untuk berkempen. Masa banjir Pemuda, Wanita, Puteri turun lebih ramai dari parti lain, sanggup turun dan kempen masa banjir mahupun hujan lebat,” katanya.
Dalam pada itu, Salahuddin turut memberi cadangan PRU15 boleh diadakan selepas Tahun Baru Cina kerana tempoh itu dianggap rasional dengan banjir sudah pulih.
Katanya, kerajaan seolah-olah terdesak sedangkan pembangkang memberi kerjasama seperti menandatangani memorandum persefahaman (MoU) untuk kestabilan politik.
“Kita (pembangkang) telah beri masa cukup, kita dah sign (tandatangan) MoU, jadi gunakanlah kesempatan itu untuk menstabilkan kerajaan,” katanya.