Kerajaan ada ‘petunjuk’ berkait sistem penyata gaji digodam, kata menteri

Kerajaan ada ‘petunjuk’ berkait sistem penyata gaji digodam, kata menteri

Annuar Musa berkata hanya Agensi Keselamatan Siber Negara (Nacsa) akan membuat kenyataan berhubung pencerobohan dalam sistem ePenyata gaji.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Annuar Musa berkata kerajaan memandang serius berhubung ketirisan data secara berterusan seolah-olah menjadi satu fenomena. (Gambar Bernama)
KPETALING JAYA:
Kerajaan sudah mendapat “petunjuk tertentu” berhubung pencerobohan sistem penyata gaji (ePenyata Gaji) penjawat awam, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Annuar Musa.

Katanya, bagaimanapun kenyataan lanjut berhubung perkara itu akan dibuat Agensi Keselamatan Siber Negara (Nacsa).

“Dalam kes ini, kita sudah bersetuju supaya tidak ramai pihak yang mengeluarkan kenyataan kerana dibimbangi mengganggu siasatan yang sedang rancak dijalankan.

“Hanya Nacsa yang akan mengeluarkan kenyataan, namun kita sudah mendapat petunjuk tertentu dan tindakan susulan sedang dilakukan,” katanya menurut Harian Metro.

Mengulas lanjut, Annuar berkata, pencerobohan data membabitkan institusi serta kementerian termasuk ePenyata Gaji adalah bawah bidang kuasa Nacsa.

“Saya nak jelaskan kerana ramai yang salah faham, kalau berlaku kecurian data yang membabitkan data peribadi bawah kelolaan syarikat dan swasta, ia termasuk bawah Akta Perlindungan Peribadi yang dikelolakan Jabatan Perlindungan Data iaitu K-KOMM (Kementerian Komunikasi dan Multimedia).

“Jika data daripada institusi, jabatan kementerian, ia tidak termasuk bawah Jabatan Perlindungan Data, sebaliknya bawah Nacsa Jabatan Perdana Menteri.

“Berhubung dakwaan pencerobohan sistem penyata gaji, ia bawah Nacsa, namun CyberSecurity Malaysia (CSM) di bawah K-KOMM akan memberikan bantuan dari segi siasatan forensik,” katanya.

Katanya, kerajaan memandang serius berhubung ketirisan data secara berterusan seolah-olah menjadi satu fenomena.

Sebelum ini dilaporkan, penggodam menggelarkan diri mereka daripada organisasi keselamatan siber “gray hat” mendakwa menceroboh ePenyata Gaji penjawat awam, bagi menunjukkan kelemahan sistem itu.

Antara maklumat diakses termasuk nama penuh, nombor MyKad, jawatan, jabatan, nombor slip gaji, nombor telefon bimbit, dan alamat e-mel, selain mengekstrak hampir dua juta slip gaji dan borang cukai dalam format PDF dengan jumlah saiz fail 188.75GB.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.