
Ketua Wanita Amanah Masjid Tanah, Mazenah Baharuddin memberi peringatan itu ketika menyokong usul menjamin hak saksama kepada ibu warganegara Malaysia yang berkahwin dengan warga asing mewariskan status kerakyatan kepada anak lahir di luar negara.
Ia susulan perwakilan Selayang, Wan Anwar Wan Ibrahim yang tidak menyokong 100% usul tersebut.
“Saya nak tanya tiga perkara saja. Ajal, maut, jodoh, pertemuan dan rezeki Allah yang tentukan, boleh ke kita nak tentukan mana kita nak lahirkan anak kita? Ya, kita boleh memilih, tapi ketentuan Allah kita tak boleh tentukan.

“Perbezaan gender sangat kuat di Malaysia. Bila air mata dikaitkan dengan wanita, bila lemah dikaitkan dengan wanita, bila emosi dikaitkan dengan wanita. Apa lelaki tidak ada emosi? Lelaki tidak ada kelemahannya?
“Tolong jangan dikaitkan dengan kelemahan wanita. Dan saya mohon dalam dewan ini, semua yang ada di dewan ini supaya jangan guna perkataan-perkataan yang merendahkan martabat wanita,” tegas Mazenah.
Terdahulu, Anwar dalam perbahasan menyokong usul yang dibawakan Wanita Amanah itu berkata, beliau tidak menyokong usul itu secara keseluruhan, tetapi bersyarat.
Salah satu hujahnya menyentuh aspek sosial dan ekonomi yang menyebabkan speaker mencelah perbahasannya beberapa kali.
“Kita bab perasaan ni speaker, tuan-tuan semua, perasaan ni kita tak boleh kawal. Kita tak kata bila kita luluskan usul ni, maksudnya kita tak kata bahawa warganegara kita, wanita ni dia tak boleh kahwin dengan bukan warganegara.
“Kita tak boleh sekat dalam mana-mana anggota Wanita Amanah ni nak berkahwin, nak bercinta dengan bukan warganegara, yang ‘rampant’, yang biasanya (dari) Bangladesh, Pakistan. Bab perasaan tak boleh kawal, tapi bab lahir anak itu boleh kawal,” katanya.
Bagaimanapun, kenyataan itu dicelah speaker yang bertanya sama ada beliau menyokong atau tidak usul tersebut.
Anwar kemudian menafikan tidak menyokong usul itu dan meneruskan perbahasannya dengan berkata, terdapat wanita tempatan yang memilih untuk melahirkan anak mereka di luar negara atas faktor ekonomi.
Beliau mengaitkan kenyataan itu dengan pakar bedah kelahiran Malaysia, Dr Amalina Che Bakri yang memilih untuk melahirkan anaknya di United Kingdom.
Oleh itu katanya, usul itu perlu disokong dengan syarat bahawa ia mendapat perkenan daripada Majlis Raja-raja.