
Presidennya, S Piarapakaran menggesa kerajaan supaya melaksanakannya.
Walaupun peralihan campuran bahan api dan tenaga yang besar akan berlaku dalam tiga dekad akan datang, penting bagi kerajaan mengambil kira kegagalan masa lampau yang tidak adil mengakibatkan rakyat Malaysia dan sektor ekonominya menanggung kos lebih tinggi.
“Kerajaan mesti melihat ke arah pelaksanaan tenaga cekap berskala penuh di semua sektor. Penting untuk memastikan corak penggunaan tenaga bergerak ke arah penyelesaian lebih cekap melalui perubahan tingkah laku, baik pulih teknologi dan pengubahsuaian.
“Kecekapan adalah parameter utama dalam memastikan keluk permintaan tenaga lebih rata. Selain itu, penyelesaian teknologi yang dipilih mesti dibuat selepas kajian betul mengenai analisis kitaran hayat dilakukan untuk memastikan kita tidak menghadapi masalah alam sekitar baharu,” katanya kepada Bernama.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Mustapa Mohamed sebelum ini mengulangi komitmen negara terhadap peralihan tenaga rendah karbon. Dasar Tenaga Negara 2021-2040 dijadual dilancarkan hujung tahun ini.
Piarapakaran berkata, kerajaan juga mesti “memilih dan memadankan” sumber tenaga dengan berhati-hati untuk memastikan sektor swasta dan awam tidak melabur secara berlebihan dalam infrastruktur.
“Dengan menggunakan pendekatan ‘pilih dan padankan’, pembangunan infrastruktur yang disasarkan dan cekap boleh dilakukan dengan lebih pantas,” katanya sambil menambah kesilapan dalam Dasar Tenaga Negara akan membawa kepada kerosakan tidak dapat dipulihkan kepada ekonomi dan hasil yang buruk menjelang 2050.
Awer juga mencadangkan kerajaan membangunkan peraturan untuk kecekapan tenaga dalam bangunan yang boleh dikuatkuasakan pada bangunan baharu dan penyesuaian semula untuk bangunan sedia ada.
Katanya, peraturan itu mesti menambah baik sistem pemanasan, pengudaraan dan penyaman udara, bahan binaan dan reka bentuk, bahan penebat dan aplikasi pesat membangun.
“Melalui peraturan itu, semua bangunan boleh direka bentuk untuk menjadi cekap tenaga pada peringkat pembinaan dan akan dapat membantu dalam mengurangkan beban puncak.”
Beliau berkata, pemasukan kecekapan bangunan, kecekapan haba dan penggunaan tenaga dalam sektor pengangkutan dalam pengurusan bahagian permintaan, penting untuk pengurusan penggunaan tenaga yang holistik.
“Penggunaan tenaga yang optimum dengan meningkatkan kecekapan akan mengurangkan permintaan tenaga. Ini akan menjimatkan berbilion ringgit.”
Persatuan itu turut menggesa kerajaan memperkenalkan kenderaan cekap tenaga disertai pelabelan kecekapan tenaga mandatori dan standard prestasi tenaga minimum.
“Menambah baik pengangkutan awam memakan masa. Adalah penting kecekapan tenaga kenderaan dilaksanakan bagi memastikan hanya kenderaan menggunakan bahan api yang cekap dijual di Malaysia.
“Ini secara langsung akan mengurangkan perbelanjaan bahan api, permintaan tenaga dan pelepasan dalam sektor pengangkutan.”
Katanya, Awer berjaya memperkenalkan standard prestasi tenaga minimum dan pelabelan kecekapan tenaga mandatori untuk produk elektrik. Mungkin, mekanisme serupa boleh dilaksanakan untuk kenderaan.
Selain itu, Piarapakaran berkata, untuk kenderaan cekap tenaga, satu mekanisme mesti mengukur jumlah kesan terhadap alam sekitar bagi pelbagai jenis kenderaan.
“Apabila penilaian kitaran hayat digunakan untuk menilai kenderaan elektrik, prestasinya terhadap alam sekitar tidak memberikan hasil yang menggalakkan berbanding kenderaan cekap tenaga menggunakan enjin pembakaran dalaman.
“Harus berhati-hati apabila memilih mekanisme untuk meningkatkan prestasi alam sekitar negara.”