
Ketua Polis Muallim, Mohd Hasni Mohd Nasir, berkata pihaknya menerima laporan mengenai insiden itu dan siasatan mendapati pemandu kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Mazda berumur 34 tahun dari arah Kuala Lumpur menuju ke Ipoh memberhentikan kereta di lorong kecemasan kerana isterinya yang hamil ingin muntah.
“Setelah selesai, pemandu kereta itu bergerak semula di laluan kecemasan dan secara tiba-tiba, sebuah kenderaan pelbagai guna jenis Toyota Alphard dari lorong kiri memasuki lorong kecemasan menyebabkan beliau terperanjat lalu membrek secara mengejut.
“Pada masa sama, sebuah motosikal jenis Yamaha Y15ZR yang melalui lorong itu sempat membrek tetapi dilanggar sebuah lagi motosikal jenis Honda RS150R dan terus terlanggar kereta berkenaan,” menurutnya dalam kenyataan.
Beliau berkata selepas itu, sebuah lagi motosikal jenis Benelli RFS150 dari arah belakang melanggar Honda RS150R dan akibatnya, penunggang motosikal terbabit berasa berang serta marah kepada pemandu SUV Mazda yang menggunakan lorong kecemasan tersebut.
Hasni berkata, semua penunggang motosikal cedera ringan dan menerima rawatan manakala kereta serta motosikal terbabit hanya mengalami kerosakan kecil dan siasatan lanjut sedang diteruskan mengikut Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalulintas Jalan 1959 (Peraturan 10 LN 166/59).
Orang ramai dinasihat agar tidak menularkan video berdurasi seminit 11 saat itu sehingga menimbulkan spekulasi.