Kerajaan perlu tanggung tambahan RM7.7 bilion hutang 1MDB susulan ringgit lebih lemah, kata Guan Eng

Kerajaan perlu tanggung tambahan RM7.7 bilion hutang 1MDB susulan ringgit lebih lemah, kata Guan Eng

Pengerusi DAP itu berkata apabila bon USD$6.5 bilion diterbitkan, kadar pertukaran adalah RM3.35 kepada dolar AS, berbanding kadar semasa RM4.54.

Lim Guan Eng mempersoalkan sikap pemimpin Umno dan perdana menteri yang berdiam diri mengenai kerugian berbilion ringgit akibat penyusutan nilai ringgit.
PETALING JAYA:
Pengerusi DAP Lim Guan Eng berkata ringgit lemah akan menyebabkan kerajaan perlu menanggung kos tambahan RM7.7 bilion untuk membayar balik prinsipal bon dolar AS yang telah diaturkan oleh Goldman Sachs untuk 1MDB.

Ahli Parlimen Bagan itu berkata bon USD$6.5 bilion yang diterbitkan pada 2012 dan 2013 masing-masing akan matang pada 2022 dan 2023 apabila kekuatan dolar AS berada pada tahap tertinggi dalam 24 tahun.

“Pada RM3.35 berbanding dolar AS apabila bon diterbitkan, jumlah prinsipal USD$6.5 bilion akan mencecah kira-kira RM21.8 bilion.

“Pada kadar pertukaran semasa RM4.54 kepada dolar AS, jumlah prinsipal yang perlu dibayar untuk USD$6.5 bilion akan menjadi lebih tinggi pada RM29.5 bilion atau RM7.7 bilion lebih tinggi,” katanya dalam kenyataan.

Lim berkata faedah terkumpul sepatutnya berjumlah lebih RM1 bilion setahun dan RM10.5 bilion dalam sedekad lalu. Katanya, ringgit yang lebih lemah tahun ini bermakna kos faedah tahunan adalah sekitar RM1.5 bilion dan bukannya RM1 bilion.

Beliau juga mempersoalkan sikap pemimpin Umno dan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob yang berdiam diri mengenai kerugian berbilion ringgit yang besar akibat kejatuhan nilai ringgit.

Kata Lim, ringgit juga baru-baru ini merosot ke paras terendah dalam sejarah RM3.26 berbanding dolar Singapura manakala rupiah Indonesia mengukuh lebih daripada 4% tahun ini berbanding ringgit.

Beliau menggesa kerajaan menerima pakai reformasi struktur ekonomi dengan segera untuk mengawal penurunan ringgit begitu cepat atau jika tidak, kesan buruk inflasi akan berlaku terhadap perniagaan, kos sara hidup rakyat dan hutang kerajaan dalam dolar AS.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.