Dibayar sehingga RM7,000, ejen bawa masuk etnik Rohingya turut urus kad UNHCR

Dibayar sehingga RM7,000, ejen bawa masuk etnik Rohingya turut urus kad UNHCR

Ketua Pengarah Imigresen, Khairul Dzaimee Daud berkata, perkara itu akan diteliti secara mendalam oleh jawatankuasa di KDN.

Khairul Dzaimee Daud (kiri, bercermin mata) memeriksa dokumen warga asing dalam serbuan Jabatan Imigresen di sebuah tapak projek perumahan di Kubang Menerong, Tasek Gelugor awal pagi tadi. (Gambar Facebook JIM)
PETALING JAYA:
Jabatan Imigresen (JIM) mengesan etnik Rohingya warga Myanmar memasuki Malaysia menggunakan ejen yang turut menguruskan proses mendapatkan kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).

Ketua Pengarah Imigresen, Khairul Dzaimee Daud berkata, beberapa pemegang kad UNHCR warga Rohingya mengaku ejen menguruskan kemasukan mereka dengan bayaran mencecah RM7,000.

“Mereka juga mengaku ejen-ejen terbabit menguruskan perjalanan ke pejabat UNHCR di Kuala Lumpur untuk proses mendapatkan kad itu. Perkara ini akan diteliti secara lebih mendalam oleh jawatankuasa di KDN.

“Mereka bukan beli (kad UNHCR), tapi mereka bayar ejen antara RM5,000 hingga RM7,000 seorang dan ejen itu akan bawa ke pejabat UNHCR.

“Pemahaman mereka kad itu dibeli, tapi sebenarnya mereka membayar kepada ejen dalam menguruskan kemasukan mereka,” katanya dipetik Bernama selepas operasi JIM di sebuah tapak projek perumahan di Kubang Menerong, Tasek Gelugor awal pagi tadi.

Terdahulu, dalam serbuan itu, 36 warga asing yang bekerja di tapak pembinaan itu diperiksa, sebelum 25 orang, termasuk seorang wanita ditahan kerana tiada dokumen perjalanan diri, tinggal lebih masa dan dokumen meragukan.

Katanya, mereka terdiri daripada 10 lelaki Bangladesh, lapan lelaki Indonesia, lima lelaki dan seorang wanita Myanmar serta seorang lelaki Nepal.

“Semua warga asing itu dibawa ke depoh tahanan untuk siasatan lebih lanjut kerana ada kalangan mereka menggunakan dokumen meragukan, khususnya pemegang kad UNHCR yang disyaki tidak tulen.”

Katanya, operasi itu merupakan yang ke-261 dijayakan JIM Pulau Pinang sepanjang tahun ini dan 193 warga asing bersama 32 majikan ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen dalam tempoh tersebut.

“Walaupun jumlah pendatang tanpa izin yang ditahan dalam operasi itu tidak ramai berbanding jumlah operasi dijalankan, jumlah kompaun yang dikenakan terhadap majikan serta warga asing lebih RM2.5 juta.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.