Pernah terselamat salji runtuh, Ravi Everest bawa Jalur Gemilang ke puncak dunia

Pernah terselamat salji runtuh, Ravi Everest bawa Jalur Gemilang ke puncak dunia

T Ravichandran berharap kerajaan mengiktiraf sumbangannya kepada negara atas kejayaan beliau membawa bendera kebangsaan ke puncak-puncak tertinggi dunia.

Pendaki, T Ravichandran mengimbau kembali pengalamannya terperangkap dalam salji runtuh dalam pengalaman ngeri yang disifatkannya “traumatik”.
PETALING JAYA:
Pernah hilang lapan jari akibat luka beku, malah berpengalaman ditimbus salji runtuh ketika mendaki Gunung Everest, namun T Ravichandran tak luntur semangatnya untuk mengibarkan Jalur Gemilang di puncak gunung-gunung tertinggi dunia.

Tidak kiralah betapa sukarnya mendaki, sama ada laluan yang curam mahupun sempit, beliau tidak mungkin lupa membawa bendera Malaysia bersamanya, katanya.

“Ketika di kem induk selama 45 hingga 60 hari, perkara pertama dilakukan adalah menyelimutkan Jalur Gemilang di atas khemah kami. Memang demi menunjukkan betapa bangganya kami dengan negara tercinta,” katanya kepada FMT.

Beliau berharap kerajaan mengiktiraf sumbangannya kepada negara dan memanggilnya untuk berkongsi sedikit kata-kata pada sambutan ulang tahun kemerdekaan.

Anak jati sebuah kampung di Kuala Pilah, Negeri Sembilan itu berkata beliau memang aktif dari segi fizikal sepanjang membesar dengan bermain bola sepak, malah pernah menyimpan impian menjadi pemain profesional.

Malangnya, cita-cita itu terpaksa dikuburkan apabila beliau meningkat usia memandangkan liga bola sepak kebangsaan lebih melihat ke arah pemain muda.

Ravichandran menceritakan bagaimana beliau hilang lapan jari selepas terdedah kepada suhu serendah -50 Celsius di Gunung Everest.

Katanya, beliau memutuskan untuk mengalihkan semangat dan tenaga yang masih membara kepada sesuatu yang mencabar, lalu memilih aktiviti mendaki gunung.

Ravichandran mula terkenal sebagai “Ravi Everest” selepas mendaki puncak tertinggi dunia itu dua kali pada 2006 dan 2007. Pada Mei lalu, beliau berjaya melakukannya untuk kali ketiga, malah berharap dapat membuatnya lagi tanpa tangki oksigen.

Beliau kini hanya mempunyai dua ibu jari selepas terdedah kepada suhu serendah -50 Celsius. Malah katanya, ketika itu beliau tidak tahu mengalami luka beku sehingga mula menuruni gunung, apabila mendapati dirinya sukar memegang tali.

“Tiga atau empat bulan selepas pulang ke Malaysia, jari saya mula patah dan tercabut. Kali pertama memang menakutkan tetapi selepas itu lebih mudah,” katanya.

“Ia menjadikan saya lebih kuat. Kini saya tahu cara membuang jari,” katanya berseloroh sebelum menambah pengalaman itu lebih menjadikannya kuat semangat.

Ravichandran terus mendaki beberapa gunung setinggi 8,000m, tetapi pada 2012 nyaris menemui ajal ketika mendaki Gunung Manaslu di Nepal – puncak kelapan tertinggi dunia.

Mengimbas kejadian itu, beliau berkata, salji runtuh menimbus kemnya pada 4 pagi.

“Tiba-tiba ketika sedang lena tidur kami ‘dihentam’, dicampak keluar, khemah musnah, sejuk…orang ramai menjerit meminta tolong. Memang menakutkan,” katanya dengan menambah 13 nyawa terkorban dalam kejadian itu.

“Ramai yang mati di Kem 3 kerana ais biru jatuh menyebabkan mereka cedera teruk. Kami amat bernasib baik kerana terkena salji lembut.”

Selepas memutuskan untuk membatalkan pendakian itu, Ravichandran berehat hampir dua tahun sebelum kembali mendaki gunung. Namun, ada masanya beliau tetap dihantui pengalaman ngeri itu.

Walaupun menghadapi cabaran-cabaran ini, Ravichandran tidak luntur semangat malah berazam mendaki 14 puncak tertinggi dunia sebelum 2025.

Ravichandran berharap kerajaan mengiktiraf sumbangannya kepada negara dan memanggilnya untuk berkongsi sedikit kata-kata pada sambutan ulang tahun kemerdekaan.

Kejayaan terbarunya adalah mendaki K2 di Pakistan – puncak kedua tertinggi dunia yang juga paling mencabar buatnya.

“K2 amat mencabar. Sukar berbanding Everest. Kini Everest boleh dikatakan mudah,” katanya.

Apa nasihatnya untuk pendaki lain yang mungkin kurang berjaya, mahupun sesiapa berdepan masalah secara am?

“Jangan biarkan diri tunduk dengan kegagalan,” katanya.

“Jika kita asyik memfokuskan kegagalan dialami kita akan sentiasa rasa negatif terhadap diri sendiri. Jadi, fokuskan terhadap kejayaan anda,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.