Pinjaman PTPTN bagi mahasiswa M40 naik kepada 100%

Pinjaman PTPTN bagi mahasiswa M40 naik kepada 100%

Perdana menteri turut mengumumkan kerajaan akan menyediakan komputer riba untuk dipinjamkan kepada peminjam PTPTN M40.

Sebelum ini, kadar pinjaman PTPTN untuk mahasiswa M40 adalah 75%.
KUALA LUMPUR:
Kerajaan memutuskan kadar pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bagi mahasiswa daripada keluarga berpendapatan sederhana (M40) dinaikkan daripada 75% kepada 100%.

Kerajaan juga bersetuju menyediakan komputer riba untuk dipinjamkan kepada peminjam PTPTN M40.

Itu antara tiga pengumuman yang dibuat Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob hari ini.

“Mahasiswa percayalah, banyak lagi yang akan diumumkan demi kepentingan pelajar sekalian,” katanya selepas menghadiri Majlis Penutup Program Semarak Patriotik Institusi Pengajian Tinggi (IPT) 2022 di Universiti Pertahanan Nasional.

Ismail berkata, jualan murah juga akan diadakan di setiap IPT mulai bulan depan memandangkan kos sara hidup masih tinggi.

Dalam perkembangan lain, beliau menyeru pelajar berusaha untuk memartabatkan bahasa Melayu.

Beliau berkata, pengarah filem tersohor negara, U-Wei Saari memecahkan tradisi Festival Filem Antarabangsa di Moscow baru-baru ini, dengan menyampaikan ucapan dan mengumumkan nama pemenang dalam bahasa Melayu.

Ismail turut menyuarakan kebanggaannya terhadap anak jati Muar, Sam Lim yang menyampaikan ucapan sulungnya dalam sidang Dewan Perwakilan Australia pada 7 Sept lalu menggunakan bahasa Melayu.

“Ini adalah satu cara untuk menyatakan kecintaan kita kepada negara.

“Saya juga menggunakan bahasa Melayu ketika berucap di pentas antarabangsa,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.