Pastikan unjuran hasil tepat dalam belanjawan, Tengku Zafrul diberitahu

Pastikan unjuran hasil tepat dalam belanjawan, Tengku Zafrul diberitahu

Ahli Parlimen PKR menggesa menteri kewangan itu tidak mengulangi kesilapan lampau dengan membuat unjuran hasil 'tidak logik dan terlalu optimistik'.

(Dari kiri) Ahli Parlimen Kuantan Fuziah Salleh, Ahli Parlimen Subang Wong Chen, Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz dan Ahli Parlimen Permatang Pauh Nurul Izzah Anwar dalam mesyuarat pra-belanjawan pada 13 Sept lepas.
PETALING JAYA:
Ahli Parlimen PKR menggesa Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz memastikan unjuran hasil kerajaan bagi 2023 dalam belanjawan tahunan persekutuan adalah tepat dan realistik.

Ahli Parlimen Subang Wong Chen berkata, mesej itu disampaikan kepada Zafrul ketika mesyuarat pra-belanjawan, yang turut dihadiri Ahli Parlimen Permatang Pauh Nurul Izzah Anwar dan Ahli Parlimen Kuantan Fuziah Salleh pada 13 Sept lepas.

Katanya, mereka menggesa Putrajaya tidak mengulangi kesilapan terdahulu dengan membuat unjuran hasil tidak logik dan terlalu optimistik.

“Unjuran hasil yang salah bukan sahaja akan mengganggu operasi kerajaan tahun depan, tetapi juga akan menyebabkan kesan negatif ke atas keseluruhan perbelanjaan,” katanya dalam kenyataan.

Ahli Parlimen itu turut menggesa kerajaan meneroka sumber pendapatan lain yang lebih progresif, seperti cukai keuntungan modal dan cukai harta pusaka, memandangkan kos subsidi melonjak kepada RM77.7 bilion tahun ini.

Mereka juga mencadangkan kerajaan mengarahkan Petronas merombak dan mengurangkan margin keuntungan tinggi vendor, dengan melaksanakan dasar lebih berdaya saing dan telus ke atas vendor.

“PKR percaya keuntungan Petronas akan meningkat secara mendadak. Kami berpendapat peningkatan keuntungan Petronas ini sangat penting bagi mengurangkan tahap hutang negara yang tidak lagi mampan,” kata mereka.

Wong Chen, yang juga ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR berkata, mereka juga mahu pengurusan semua projek mega “diperketat”, sama ada dibiayai secara langsung atau melalui inisiatif kewangan swasta, dan hanya meneruskan projek sedang berjalan atau dianggap amat perlu.

Katanya, projek yang diteruskan harus ditawarkan melalui proses ketat tender terbuka dan mampu memberi kesan berganda kepada ekonomi.

“Bagi isu mata wang dan inflasi, kami minta kerajaan memberi jaminan bahawa Bank Negara akan bebas daripada pengaruh politik tidak wajar supaya mereka dapat melaksanakan dasar monetari berhemat.

“Kami juga minta kerajaan mengarahkan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan mengurangkan portfolio ekuiti luar negara dan membawa pulang wang ini ke Malaysia bagi mempertahankan nilai ringgit.”

Tiga Ahli Parlimen itu kemudian mencadangkan 12 dasar kepada Kementerian Kewangan untuk dipertimbang dimasukkan dalam belanjawan:

  1. Mempercepat kelulusan permit pekerja asing;
  2. Menangani isu kehilangan pembelajaran pelajar semasa wabak;
  3. Membantu industri pelancongan dengan pekerja dan modal;
  4. Menjadi lebih mesra kepada penduduk asing di Malaysia;
  5. Menangani masalah ketakjaminan makanan, menambah baik logistik rantaian bekalan;
  6. Merancakkan pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET);
  7. Bersiap sedia menghadapi banjir, memperuntukkan dana besar untuk usaha menyelamat;
  8. Menambah baik belanjawan responsif gender;
  9. Membuat persiapan bagi meluluskan Akta Perkhidmatan Parlimen;
  10. Memastikan pelancaran penuh vaksin virus papiloma manusia (HPV) untuk pelajar perempuan;
  11. Menggalakkan lagi pelaksanaan matlamat pembangunan mampan (SDG) di Putrajaya; dan
  12. Memperuntukkan belanjawan mencukupi untuk perubahan iklim dan bersiap sedia untuk perdagangan karbon

Belanjawan 2023 akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada 7 Okt ini, tiga minggu lebih awal daripada jadual asal.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.