
Peguam mewakili Subramaniam, Ragunath Kesavan, berkata Pengerusi Mahkamah Perusahaan Iznan Ishak memerlukan lebih masa untuk meneliti rekod.
“Dia (Subramaniam) mahu kes dibicarakan,” kata Ragunath sambil menyatakan anak guamnya yang dipecat pada 2018, sudah “banyak menderita”.
Pada 20 Jun, Mahkamah Persekutuan menghantar semula kes itu untuk diputuskan Mahkamah Perusahaan.
Hakim Besar Malaya Azahar Mohamed, berkata doktrin “kekebalan terhad” hanya terpakai kepada kerajaan asing atau perwakilan diplomatik negara itu di sini berhubung pemecatan pekerja mereka.
Subramaniam, 53, yang berkhidmat dengan keduataan itu selama 21 tahun, memohon diambil kembali bekerja atau diberi pampasan sebagai gantian untuk kembali bekerja. Dia beroleh pendapatan RM2,000 sebulan ketika dipecat.
Turut menemani Subramaniam di Mahkamah Perusahaan, hari ini, adalah Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia (PSM) S Arulchelvan, yang berharap kes dibicarakan tanpa ada lagi penangguhan.