
Beliau berkata, pihaknya percaya bahawa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) secara umumnya cukup faham dengan tugas dan tanggungjawab guru di sekolah.
Bagaimanapun, beliau yang baru dimaklumkan berkenaan perkara itu akan mendapatkan maklumat lanjut mengenainya.
“Jika dibuat taklimat panggil dan panggil semua guru, siapa nak jaga anak-anak kita di sekolah.
“Secara umumnya, SPR faham bahawa kalau guru bertugas pada waktu berkenaan, maka keutamaan harus diberikan kepada guru untuk bertugas dan mengajar,” katanya, menurut Kosmo.
Mengulas lanjut, beliau berkata Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sentiasa bekerjasama dengan SPR dan jika perlu, waktu taklimat diperincikan bagi memastikan tugas hakiki guru tidak terganggu.
Ujarnya, taklimat itu harus dilakukan selepas waktu persekolahan atau libatkan guru yang tidak bertugas dan pentadbir sekolah sahaja, jika ia diadakan pada hari sesi persekolahan.
Semalam, Yang Dipertua (YDP) Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Jalan Reko, Muhamad Nasron Muhamad Nasir memberitahu FMT, SPR tidak sepatutnya ‘memaksa’ guru menghadiri taklimat petugas PRU ketika waktu persekolahan.
Beliau berkata pihaknya telah melaporkan perkara itu kepada Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) Hulu Langat, Arbain Pinni.
Dakwanya, taklimat itu diadakan pada Isnin lalu dan majoriti guru tidak dapat mengajar pada hari berkenaan.
Nasron sebelum ini memuat naik tangkap layar mesej komunikasinya dengan pegawai PPD, yang antara lain memberi teguran kepada SPR berhubung taklimat pada waktu persekolahan, di laman Facebook miliknya.