
Presidennya, Abdul Hadi Awang turut menyifatkan PH sebagai sarat dengan orang “tidak beriman dan bermoral secara terbuka”.
Atas sebab itu, beliau mendakwa, PAS menolak kerjasama dengan PH untuk menyelamatkan negara.
“Secara tegasnya, PAS menolak mudarat politik yang lebih besar dalam PH dan lebih parah akibatnya kepada negara yang boleh merobohkan asasnya, sehinggakan ia boleh mematahkan cabang-cabangnya yang penting,” katanya di Facebook.
Bagaimanapun, Hadi tidak menawarkan sebarang bukti untuk menjelaskan dakwaan bahawa PH, yang dianggotai PKR, DAP, Amanah, dan Upko, “mengumpulkan pemberi rasuah dan penerima rasuah”.
Sebelum ini, Hadi mendakwa golongan bukan Islam dan bukan Bumiputera kumpulan majoriti menjadi perosak politik dan ekonomi negara.
Beberapa pihak termasuk pemimpin DAP membuat laporan polis terhadap Hadi yang disiasat polis baru-baru ini. Beberapa pemimpin PAS mendakwa kenyataan Hadi itu berdasarkan kajian di sebuah universiti tempatan.
Dalam catatan Facebook hari ini, Hadi turut mendakwa PH mempunyai mereka yang bersikap anti-Islam, selain mengancam institusi raja-raja, dan asas-asas Perlembagaan, khususnya kemuliaan Islam sebagai agama persekutuan.
“Bahkan, terdapat juga kalangan yang fanatik bencikan Melayu dan bumiputera, tanpa peduli adanya hak terhadap agama lain dan berbagai-bagai kaum yang sudah mencukupi,” katanya.
Dalam pada itu, Hadi berkata, PAS tetap mempertahankan hak Melayu, Bumiputera dan Islam, dan menentang sikap fanatik perkauman terhadap mana-mana bangsa.
“PAS menegaskan kalau ada sesiapa yang membuat kenyataan orang Melayu ini bersifat perkauman, halaukan dia kerana tidak mengenang budi,” katanya.