Jangan perkecil kejatuhan ringgit, Tengku Zafrul diberitahu

Jangan perkecil kejatuhan ringgit, Tengku Zafrul diberitahu

Setiausaha Agung DAP, Loke Siew Fook berkata, kejatuhan itu akan menjejaskan rakyat Malaysia kerana ia akan menyebabkan peningkatan dalam kos makanan import.

Setiausaha Agung DAP, Loke Siew Fook berkata, nilai ringgit merosot ketika krisis ekonomi pada 1997.
PETALING JAYA:
DAP meminta Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Aziz tidak memperkecilkan kejatuhan ringgit berbanding dolar AS.

Setiausaha Agungnya, Loke Siew Fook berkata, aliran menurun berbanding dolar AS akan menjejaskan rakyat Malaysia kerana ia akan menyebabkan peningkatan dalam kos makanan import.

“Dan apabila kos mengimport barangan lebih mahal, ini sudah tentu menjadi salah satu faktor yang menyebabkan inflasi lebih tinggi,” katanya dalam segmen di Facebook bertajuk #AnthonyJawabJujur.

Sebelum ini, Malaysia dilapor merekodkan lebih RM50 bilion setiap tahun untuk mengimport bahan makanan asas seperti beras, daging lembu dan kubis.

“Jadi, ia tak boleh dipandang rendah dan tak boleh dikatakan kononnya hari ini, kita tak ada krisis ekonomi, maka kita tak payah memberikan perhatian terhadap penurunan nilai mata wang ringgit.”

Loke berkata, negara tidak mampu menunggu sehingga kemelesetan melanda untuk menangani isu itu.

Dalam laporan Bernama semalam, Tengku Zafrul berkata, Malaysia tidak mengalami krisis ekonomi hanya kerana ringgit diniagakan rendah berbanding dolar AS.

Sebagai negara pengeksport, katanya, ringgit yang rendah akan memberi kesan positif kepada hasil eksport negara.

Namun, Loke menegaskan nilai ringgit turut merosot semasa krisis ekonomi pada 1997.

Ahli Parlimen Seremban itu kemudian meminta Putrajaya mengambil langkah serius untuk mengukuhkan nilai ringgit dan mengelakkannya terus merosot.

Pada pembukaan semalam, ringgit susut lagi ke paras terendah baharu dalam tempoh 24 tahun, kepada 4.5200/5220 berbanding dolar AS daripada 4.5070/5085 ketika ditutup pada Selasa.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.