F1 mungkin kembali ke Malaysia ‘2 hingga 3 tahun lagi’, kata bos litar Sepang

F1 mungkin kembali ke Malaysia ‘2 hingga 3 tahun lagi’, kata bos litar Sepang

Buat masa ini, kerajaan sedang menumpukan usaha untuk membangunkan semula ekonomi yang terjejas akibat wabak Covid-19, kata Azhan Shafriman Hanif.

Malaysia terkeluar daripada kalendar F1 mulai 2018 berikutan peningkatan kos penganjuran acara itu. (Gambar Bernama)
SINGAPURA:
Formula Satu mungkin tidak kembali ke Malaysia dalam masa terdekat memandangkan kerajaan sedang menumpukan usahanya untuk membangunkan semula ekonomi yang terjejas akibat wabak Covid-19.

Azhan Shafriman Hanif, Ketua Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang, yang sebelum ini menjadi tuan rumah perlumbaan itu, memberitahu pemberita di Singapura semalam bahawa kerajaan mungkin mempertimbangkan semula pilihannya selepas dua hingga tiga tahun.

Litar Sepang pertama kali menganjurkan perlumbaan itu pada 1999, dengan Grand Prix terakhir diadakan di sana pada 2017.

Malaysia terkeluar daripada kalendar F1 mulai 2018 berikutan peningkatan kos penganjuran acara itu.

“Di peringkat ini, jawapannya adalah tidak, bukan buat masa ini,” kata Azhan ketika ditanya sama ada Malaysia merancang untuk menganjurkan perlumbaan itu lagi.

“Mungkin dalam dua hingga tiga tahun lagi apabila ekonomi stabil.”

Beliau berkata, Malaysia sebelum ini menjadi tuan rumah F1 “untuk meletakkan negara di mata dunia” melalui pelancongan sukan.

Namun untuk F1 kembali, kerajaan perlu mengkaji “gambaran yang lebih besar” dari segi manfaatnya kepada negara.

“Kita perlu tahu apa pulangannya dari segi kesan limpahan,” katanya.

“Kita perlu melihat kepada penjenamaan semula, bagaimana untuk menjadikan platform itu menguntungkan. Kita perlu bercakap tentang pemindahan teknologi, pembangunan bakat dan kelestarian alam sekitar.”

Azhan dan pegawai litar lain berada di Singapura minggu ini untuk mempromosikan perlumbaan motosikal Petronas Grand Prix (MotoGP), yang akan diadakan di litar Sepang dari 21 hingga 23 Okt.

Perlumbaan MotoGP kali ini adalah yang pertama diadakan di Sepang dalam tempoh dua tahun berikutan penggantungan penganjurannya akibat wabak.

Spekulasi mengenai kepulangan F1 ke Malaysia timbul setelah Rusia digugurkan daripada kalendar perlumbaan berikutan pencerobohan negara itu ke atas Ukraine pada Februari.

Singapura menjadi tuan rumah perlumbaan malam Formula Satu yang akan berlangsung dari 30 Sept hingga 2 Okt.

Azhan berkata, Singapura “membuat keputusan yang tepat” untuk mempromosikan acara itu bukan sahaja sebagai perlumbaan tetapi juga sebagai hiburan yang merangkumi konsert dan parti.

“Jika Formula Satu kembali ke Malaysia, ia perlu bergantung pada sesuatu yang lain, bukan sahaja pada perlumbaan. Mesti ada tujuan lain kita menganjurkan Formula Satu,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.