43,508 pemilih baharu didaftar, kata SPR

43,508 pemilih baharu didaftar, kata SPR

Semakan dibuka bermula hari ini sehingga 14 Okt depan.

SPR berkata, 43,508 pemilih baharu melibatkan mereka bertukar bahagian pilihan raya dan pemilih bertukar status atau kategori pengundi. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Daftar Pemilih Tambahan Bulan Ogos Tahun 2022 (DPT BLN8/2022) yang telah diperaku dan diwartakan, kini dibuka untuk semakan bagi tempoh 30 hari bermula hari ini hingga 14 Okt.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Ikmalrudin Ishak dalam kenyataan hari ini berkata, DPT BLN8/2022 mengandungi nama bagi 43,508 warganegara berumur 18 tahun dan ke atas bagi tempoh 1 hingga 31 Ogos lepas, yang didaftarkan secara automatik sebagai pemilih baharu.

Beliau berkata, DPT BLN8/2022 juga turut membabitkan sejumlah 19,868 pemilih berdaftar yang bertukar bahagian pilihan raya dan 6,544 pemilih bertukar status atau kategori pengundi.

Untuk semakan, beliau berkata SPR menyediakan lima kaedah iaitu melalui portal SPR di pautan https://www.spr.gov.my atau https://mysprsemak.spr.gov.my dan portal rasmi Pejabat-Pejabat Pilihan Raya Negeri di pautan http://ppn.spr.gov.my.

Selain itu, semakan juga boleh dilakukan menerusi aplikasi dalam talian di https://myspr.spr.gov.my, aplikasi mudah alih MySPR Semak dan hotline SPR di talian 03-8892 7018.

“SPR menyeru kepada warganegara yang berumur 18 tahun dan ke atas dalam tempoh 1 Ogos 2022 hingga 31 Ogos 2022 dan mana-mana pemilih berdaftar yang telah memohon pertukaran bahagian pilihan raya atau pertukaran status untuk menyemak nama mereka dalam DPT BLN8/2022.

“Sekiranya mereka mendapati namanya tidak disenaraikan dalam DPT BLN8/2022, mereka boleh membuat tuntutan dengan mengisi borang C melalui aplikasi dalam talian di pautan https://myspr.spr.gov.my atau hadir ke pejabat pilihan raya negeri yang berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, pemilih berdaftar di sesuatu bahagian pilihan raya yang membuat semakan dan berhasrat membuat bantahan kemasukan nama pemilih yang membuat pertukaran ke bahagian pilihan rayanya boleh mengisi Borang D (bantahan) dan hadir ke Pejabat Pilihan Raya Negeri yang berkenaan.

“Borang C dan Borang D juga boleh dimuat turun daripada portal pejabat pilihan raya negeri di pautan http://ppn.spr.gov.my dan hendaklah dikemukakan kepada Pengarah Pilihan Raya Negeri berkenaan pada waktu pejabat pada mana-mana hari bekerja sepanjang tempoh semakan DPT BLN8/2022,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.