Tumpas! ‘Geng Pendang’ pecah rumah di P Pinang, balik ke Kedah sembunyi

Tumpas! ‘Geng Pendang’ pecah rumah di P Pinang, balik ke Kedah sembunyi

Empat lelaki berusia 29 hingga 39 tahun ditahan dalam serbuan di sekitar Kedah pada Sabtu lalu.

Polis turut menahan seorang pemilik kedai emas berusia 42 tahun kerana dipercayai membeli barang kemas daripada ‘Geng Pendang’.
KEPALA BATAS:
Polis menumpaskan “Geng Pendang” yang aktif menjalankan kegiatan pecah rumah di sekitar daerah Seberang Perai Utara (SPU) sehingga menyebabkan kerugian puluhan ribu ringgit, selepas menahan empat lelaki Sabtu lepas.

Ketua Polis Daerah SPU, Mohd Radzi Ahmad berkata, pihaknya menahan empat lelaki berusia 29 hingga 39 tahun dalam siri serbuan di sekitar Kedah bermula 6 petang.

“Lelaki pertama ditahan di Sungai Petani dan seterusnya lelaki kedua di Pendang, manakala dua lagi suspek di Alor Setar. Berdasarkan siasatan, mereka dipercayai terlibat (dalam) sekurang-kurangnya lima kes pecah rumah di sekitar SPU sejak awal tahun ini.

“Berdasarkan siasatan, mereka dipercayai datang ke SPU dan kemudiannya melakukan jenayah pecah rumah pada waktu malam, sebelum kembali ke Pendang semula untuk bersembunyi bagi mengelak dikesan pihak berkuasa,” katanya pada sidang akhbar semalam.

Ekoran penahanan empat suspek yang tidak bekerja itu, katanya, polis turut menahan pemilik sebuah kedai emas berusia 42 tahun di Alor Setar pada Ahad lalu, yang dipercayai membeli barang kemas daripada geng tersebut.

“Semua suspek, termasuk pemilik kedai emas itu mempunyai pelbagai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah. Mereka kini direman lima hari bagi membantu siasatan berhubung kejadian pecah rumah menurut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.”

Selain itu, beliau berkata, polis menahan seorang lelaki berusia 42 tahun kerana memiliki pelbagai senjata, termasuk sepucuk pistol dan empat butir peluru serta sebilah parang dalam pemeriksaan di Mak Mandin, di sini pada 7.30 malam semalam.

Lelaki dari Klang, Selangor itu dikehendaki polis kerana terlibat dalam kes merusuh dengan senjata.

“Ketika pemeriksaan, polis menemui pistol jenis Zoraki M906-T dan empat butir peluru itu di bahagian pinggangnya, manakala senjata lain ditemui di bawah tempat duduk pemandu.

“Polis turut merampas ganja serta syabu bernilai RM300 bersamanya dan suspek turut positif dadah.”

Katanya, lelaki yang tidak bekerja dan mempunyai lima rekod lampau itu kini direman tujuh hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971, Seksyen 8(A) Akta Senjata Api 1960 serta Seksyen 6(1) Akta Bahan-bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.