Subkontraktor, pembekal LRT3 tuntut syarikat China bayar tunggakan RM25 juta

Subkontraktor, pembekal LRT3 tuntut syarikat China bayar tunggakan RM25 juta

Lebih 50 subkontraktor dan pembekal tempatan menyertai demonstrasi aman di Shah Alam hari ini.

Subkontraktor dan pembekal tempatan LRT3 pakej GS05 serta GS06 menyertai demonstrasi aman di Seksyen 1 Shah Alam hari ini.
SHAH ALAM:
Sekumpulan subkontraktor dan pembekal tempatan dalam projek Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) menuntut sebuah syarikat China melunaskan lebih RM25 juta yang sudah tertunggak lebih setahun.

Lebih 50 subkontraktor dan pembekal tempatan LRT3 pakej GS05 serta GS06 menyertai demonstrasi aman di Seksyen 1 Shah Alam hari ini bagi menuntut China Railway 17th Bureau Group (M) Sdn Bhd (CRCC17) melunaskan bayaran tertunggak itu.

Pengarah Urusan Izani Wawasan Enterprise Sdn Bhd Rozani Aziz berkata, sejak setahun lalu, subkontraktor dan pembekal yang menyiapkan pelbagai kerja mengikut bidang kepakaran masing-masing dalam dua pakej itu tidak menerima sebarang bayaran.

“Setiap bulan, kami dijanjikan berulang kali oleh pengarah projek CRCC17, bayaran akan dibuat,” katanya selepas menyertai demonstrasi aman itu.

Pengarah Urusan Izani Wawasan Enterprise Sdn Bhd Rozani Aziz (dua dari kanan).

“Tetapi janji itu tidak ditepati dan setiap kali kami memohon pihak CRCC17 menjelaskan bayaran tertunggak, ia masih tidak dibuat.”

Beliau berkata, banyak siri mesyuarat diadakan bersama pengurusan tertinggi CRCC17, malah wakil subkontraktor turut menghantar surat kepada pelbagai pihak yang berkaitan dengan projek LRT3, tetapi tiada subkontraktor yang menerima sebahagian mahupun bayaran penuh.

Katanya, subkontraktor dan pembekal tempatan semakin terdesak dan terpaksa mengadakan demonstrasi aman dengan harapan nasib mereka dan kira-kira 3,000 pekerja terbela.

Projek LRT3 sepanjang 37.8km, termasuk 2km di bawah tanah, bermula pada Ogos 2015 dan dijangka siap sepenuhnya pada 28 Feb 2024. Projek ini merangkumi pembinaan 20 stesen di sepanjang laluan, dengan lima stesen utama dan 20,000 lot parkir di enam stesen.

LRT3 dijangka mampu menampung 18,630 penumpang sejam bagi setiap laluan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.