SPR jangan guna alasan ‘urusan Seri Paduka Baginda’ paksa guru hadiri taklimat PRU

SPR jangan guna alasan ‘urusan Seri Paduka Baginda’ paksa guru hadiri taklimat PRU

SPR perlu untuk memilih waktu bersesuaian mengadakan taklimat pilihan raya dan tidak mengganggu waktu pembelajaran murid.

SPR perlu pilih tarikh yang bersesuaian untuk adakan taklimat PRU kepada guru supaya tidak mengganggu pembelajaran murid.
PETALING JAYA:
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak sepatutnya ‘memaksa’ guru menghadiri taklimat petugas pilihan raya umum (PRU) ketika waktu persekolahan, tegas Yang Dipertua (YDP) Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Jalan Reko, Muhamad Nasron Muhamad Nasir.

Katanya, meskipun urusan tersebut adalah di bawah arahan Seri Paduka Baginda, SPR sepatutnya bijak memilih waktu sesuai untuk taklimat itu diadakan dan tidak menjejaskan pembelajaran murid.

“Di tempat saya, SPR buat taklimat petugas undi hari Isnin, (yang hadirinya) majoriti dari (kalangan) guru-guru. (Hari itu) sekolah anak saya, SMK Jalan Reko, kebanyakan guru-guru tak dapat mengajar.

“Pelajar-pelajar memang tak belajar pada hari berkenaan. Walhal, hari Isnin adalah hari pertama persekolahan selepas cuti seminggu. Kenapa SPR tak pilih tarikh betul-betul?” soal Nasron ketika bercakap kepada FMT.

Muhamad Nasron Muhamad Nasir.

Katanya, beliau sudah menyatakan ketidakpuasan hatinya kepada Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) Hulu Langat, Arbain Pinni berhubung isu itu.

“Saya sudah menyatakan perkara ini secara tak rasmi kepada pegawai PPD Hulu Langat dan meminta beliau sampaikan kepada SPR untuk memilih masa yang sesuai dan tidak mengganggu takwim persekolahan.

“Kita tahu guru pun berkejar mahu habiskan silibus mata pelajaran masing-masing. Pegawai PPD kata akan cuba ganti balik waktu pembelajaran yang sudah terbuang, tapi kaedah macam mana tu saya tak pasti,” katanya.

Nasron sebelum ini memuat naik tangkap layar mesej komunikasinya dengan pegawai PPD, yang antara lain memberi teguran kepada SPR berhubung taklimat pada waktu persekolahan, di laman Facebook miliknya.

Rata-rata komen daripada warganet menyokong tindakan Nasron dan berpandangan agar pelajar sekolah tidak seharusnya menjadi mangsa keadaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.