
Presiden MMA, Dr Muruja Raj Rajathurai berkata, janji kepada rakyat Sabah itu perlu ditambah dengan komitmen untuk menyediakan latihan sambil bekerja selepas tamat pengajian dan menambah baik kemudahan perubatan serta penjagaan kesihatan di negeri itu.
Beliau mencadangkan kerajaan negeri dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) membincangkan ikatan ke atas biasiswa itu.
Menurutnya, penting untuk merancang pengagihan perkhidmatan penjagaan kesihatan yang saksama di Sabah.
“Kami berharap infrastruktur untuk membolehkan akses mudah kepada perkhidmatan penjagaan kesihatan, khususnya di kawasan luar bandar, akan diberi penekanan,” katanya kepada FMT.

Minggu lalu, Ketua Menteri, Hajiji Noor berkata, beliau menyedari kekurangan pakar perubatan di negeri itu dan keperluan untuk meningkatkan penjagaan kesihatan rakyat Sabah.
Beliau memberitahu Yayasan Sabah dan JPA Negeri untuk menumpukan perhatian kepada belia yang ingin melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan dan menawarkan pinjaman serta biasiswa kepada mereka.
Hajiji juga berkata, kerajaan negeri dan rakan strategiknya akan terus memberi sokongan kepada Agenda Nasional Malaysia Sihat di negeri itu.
Bekas pengerusi MMA Sabah, Dr Kew Seih Teik bercakap kepada FMT mengenai dakwaan kakitangan perubatan dari Semenanjung enggan berkhidmat di negeri itu.
“Buat masa ini, terdapat kira-kira 80% kakitangan penjagaan kesihatan di hospital kerajaan, tetapi ramai daripada mereka tidak mahu tinggal di Sabah selepas mereka tamat latihan,” katanya sambil menambah sukar untuk mengekalkan pakar di negeri itu.
Kew berkata, melatih rakyat Sabah dalam bidang perubatan akan meningkatkan peluang mereka untuk kekal berkhidmat di negeri itu kerana mereka akan memahami keperluan penduduk setempat.