Menteri ambil tindakan bantu tunai hasrat bekas askar British lawat Kem Terendak

Menteri ambil tindakan bantu tunai hasrat bekas askar British lawat Kem Terendak

Hishammuddin Hussein telah mengarahkan pejabatnya untuk membantu memudahkan kunjungan Frank Robinson dan David Priestley.

Menteri Pertahanan Hishammuddin Hussein berkata, Komander Divisyen Ketiga tentera, Mejar Jeneral Rashidin, akan berhubung dengan dua bekas askar Britain itu.
PETALING JAYA:
Menteri Pertahanan Hishammuddin Hussein telah mengarahkan pejabatnya untuk membantu dua bekas askar British yang berkhidmat di Malaysia lebih 60 tahun lalu dan sedang berusaha untuk mengunjungi kem tentera lama mereka.

Hishammuddin berkata, beliau telah mengarahkan pejabatnya di Kementerian Pertahanan untuk membantu memudahkan kunjungan Frank Robinson dan David Priestley ke Kem Terendak di Melaka.

“Komander Divisyen Ketiga tentera, Mejar Jeneral Rashidin, akan berhubung dengan dua bekas askar Britain itu,” kata Hishammuddin dalam ciapan di Twitter lebih sejam selepas FMT menyiarkan artikel mengenai hasrat kedua-dua warga Britain itu.

Robinson, 80, dan Priestley, 73, berpangkalan di Kem Terendak di Melaka dan Johor War School, Johor Bahru dari 1961 hingga 1969.

Malangnya, hasrat mereka untuk mengimbau kembali kenangan silam dengan mengunjungi Kem Terendak terhalang apabila dilarang masuk oleh sentri polis tentera tengah hari semalam.

Menurut catatan Facebook oleh wartawan veteran M Veera Pandiyan, mereka diberitahu untuk mendapatkan kebenaran daripada Kementerian Pertahanan terlebih dahulu.

Kedua-dua warga Britain itu, yang menginap di Hotel Ibis di Melaka, khuatir mereka tiada masa untuk memohon dan mendapatkan kebenaran mengunjungi kem itu kerana mereka akan pulang ke Yorkshire, England, pada Ahad.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.