
Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng mempersoalkan mengapa ahli perniagaan dan syarikat yang didakwa difitnah itu tidak dibenarkan mendapatkan tebus rugi di mahkamah sivil.
Semalam, Azam Aris didakwa memfitnah Kua Khai Shyuan dan DGB Asia Bhd dalam artikel yang diterbitkan The Edge pada 21 Sept 2020.
Azam dan seorang lagi pengarang, Shanmugam Murugasu, yang tidak hadir di mahkamah, juga didakwa memfitnah Kua, DGB Asia, Trive Property Group Bhd, Metronic Global Bhd dan MNC Wireless Bhd dalam artikel lain yang diterbitkan pada 12 April tahun lepas.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Dalam kenyataan hari ini, Lim mengakui bahawa peguam negara mempunyai hak prerogatif untuk memulakan atau menghentikan sebarang prosiding, tetapi katanya, “beliau bertanggungjawab untuk menjelaskan kepada orang ramai tentang keputusannya menggunakan (tuduhan) fitnah jenayah dengan wang pembayar cukai sedangkan ia melibatkan reputasi tokoh korporat dan syarikat senaraian awam”.
“Peguam negara patut turut menjelaskan (sama ada), pada masa akan datang, ini bermakna mana-mana individu dan entiti komersial yang difitnah boleh membuat laporan polis dan mengharapkan peguam negara mengambil tindakan berkait fitnah jenayah,” katanya.