Risiko disaman sampai RM1 bilion jika batal projek Bukit Cherakah, MB Selangor jawab Khir

Risiko disaman sampai RM1 bilion jika batal projek Bukit Cherakah, MB Selangor jawab Khir

Amirudin Shari berkata kerajaan Selangor tidak dapat membatalkan projek pembangunan di tanah Hutan Simpan Bukit Cherakah yang dinyahwartakan kerana risiko disaman sehingga RM1 bilion.

Amirudin Shari di majlis pelancaran buku yang turut dihadiri Timbalan Menteri Alam Sekitar dan Air, Mansor Othman. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kerajaan Selangor tidak dapat membatalkan projek pembangunan di tanah Hutan Simpan Bukit Cherakah yang dinyahwartakan seperti yang dikata bekas menteri besar Khir Toyo, kerana risiko disaman sehingga RM1 bilion, kata Amirudin Shari.

Menteri besar Selangor itu akui mempunyai kuasa untuk tidak meneruskan siar warta untuk penyahwartaan tanah tertentu di Hutan Simpan Bukit Cherakah, namun akibatnya kerajaan negeri bakal berdepan risiko disaman pemaju.

“Disebabkan perjanjian dia (semasa pentadbiran lepas). Dia kena tengok cerminlah,” katanya kepada pemberita selepas satu majlis pelancaran di One Utama.

“Kerajaan negeri berisiko disaman sampai RM1 bilion, disebabkan rampasan tanah yang dilaksanakan pada 2008 dan sebagainya.”

Selepas Amirudin sebelum ini mendakwa penyahwartaan dibuat oleh pentadbiran terdahulu, Khir semalam meminta beliau tidak menyalahkan pentadbiran lalu selepas 15 tahun Pakatan Harapan mentadbir Selangor, mengingatkan ia mempunyai kuasa untuk tidak meneruskan pembangunan atau penyahwartaan kawasan.

Amirudin pada Isnin lepas menjelaskan siar warta untuk penyahwartaan tanah tertentu di Hutan Simpan Bukit Cherakah pada 5 Mei lalu itu bagi melengkapkan proses penyahwartaan yang terhenti sekitar 2006.

Menjawab teguran Khir, Amirudin berkata beliaulah yang kena bertanggungjawab atas keputusan ketika itu.

“Dia cakap jangan lepaskan tanggungjawab kepada pentadbiran terdahulu, tetapi beliau yang jadi menteri besar sebelum ini. Beliau kena bertanggungjawab,” katanya.

Sementara itu, ditanya sama ada Selangor akan membubarkan Dewan Negeri jika Parlimen dibubarkan, Amirudin berkata perkara itu belum dibincangkan.

“Saya tak mimpi itu lagi. Kami akan bincang di setiap peringkat kepimpinan PH terlebih dahulu dan pastinya saya perlukan panduan Sultan Selangor dan pimpinan tertinggi PH,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.