Mahkamah benar Shafee pinda tarikh dapat pasport ke Australia

Mahkamah benar Shafee pinda tarikh dapat pasport ke Australia

Peguam itu memohon untuk meminda tarikh pelepasan sementara pasportnya dari 6 hingga 12 Sept ke 15 Sept hingga 19 Sept ini.

Permohonan Shafee Abdullah bagi pelepasan sementara pasportnya ke luar negara beberapa kali sebelum ini juga dibenarkan mahkamah.
KUALA LUMPUR:
Mahkamah Tinggi di sini hari ini membenarkan permohonan peguam Shafee Abdullah meminda tarikh pelepasan pasport bagi membolehkannya menghadiri mesyuarat perundangan di Australia dengan peguam kanan dari United Kingdom.

Shafee memohon untuk meminda tarikh pelepasan sementara pasportnya itu ke 15 Sept hingga 19 Sept ini. Tarikh sebelum ini ialah 6 hingga 12 Sept.

Hakim Muhammad Jamil Hussin membenarkan permohonan Shafee itu, selepas Timbalan Pendakwa Raya, Afzainizam Abdul Aziz tidak membantah permohonan tersebut.

Terdahulu, peguam Wee Yeong Kang yang mewakili Shafee berkata, pihaknya memohon untuk meminda tarikh pelepasan sementara pasport anak guamnya dari 6-12 Sept ke 15-19 Sept ini dan dipulangkan semula kepada mahkamah pada 22 Sept.

“Shafee perlu menangguhkan penerbangannya ke Australia kerana peguam kanan Geoffrey Robertson memerlukan sedikit masa untuk memahami dan menghalusi dokumen, sebelum beliau bersedia untuk memberi nasihat serta cadangan kepada Tan Sri,” katanya.

Shafee, 70, peguam utama kepada bekas perdana menteri, Najib Razak dalam kes SRC International dan 1MDB menyerahkan pasportnya kepada mahkamah pada September 2018 selepas beliau sendiri didakwa di mahkamah.

Permohonan bagi pelepasan sementara pasportnya untuk ke luar negara beberapa kali sebelum ini juga dibenarkan mahkamah.

Shafee didakwa atas dua pertuduhan menerima RM9.5 juta yang merupakan hasil aktiviti haram melalui dua cek yang dikeluarkan Najib dan dimasukkan ke akaun CIMB Bank miliknya.

Beliau juga berdepan dua pertuduhan terlibat dalam transaksi hasil aktiviti haram, iaitu mengemukakan penyata tidak betul dan bertentangan perenggan 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967 bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis 2013 dan 31 Dis 2014.

Pada 12 Mei lepas, pihak pendakwaan menutup kes berkenaan selepas memanggil lapan saksi dalam perbicaraan yang bermula 21 Mei 2021 dan hujahan lisan ditetapkan pada 15 Sept.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.