
Pas khas Sabri daripada Jabatan Imigresen tamat tempoh pada 21 Sept, yang menurut kumpulan NGO itu, meletakkannya dalam “kedudukan paling tidak selamat” kerana tiada kepastian sama ada pas itu akan dibaharui.
“Kerajaan Malaysia mesti menjamin dia tidak dihantar pulang dan pas khas dikeluarkan berterusan sehingga semua kes dan tuntutannya (selesai),” kata mereka dalam kenyataan bersama.
“Hanya mahkamah Malaysia mempunyai bidang kuasa untuk menentukan tuntutan pelanggaran hak dan hak pekerja yang berlaku di Malaysia.”
NGO itu berkata, pada 22 Ogos, Sabri memulakan tindakan undang-undang di Mahkamah Tinggi Tawau terhadap menteri dalam negeri, ketua menteri Sabah, Jabatan Imigresen dan lain-lain, memohon perintah mahkamah agar menteri menyatakan keputusannya mengenai dua rayuan Sabri terhadap keputusan Jabatan Imigresen.
Mereka berkata, menteri itu masih belum menyatakan keputusannya. Jika tidak berpuas hati dengan keputusan itu, Sabri berhak memohon semakan kehakiman di mahkamah, kata kumpulan NGO itu.
Sabri juga memfailkan tuntutan pengembalian semula di Mahkamah Perusahaan pada Mei, tetapi kes itu masih belum didengar.
Menurut kumpulan NGO itu, Mahkamah Tinggi Tawau pada 23 Ogos menolak permohonan Sabri untuk mendapatkan perintah mahkamah yang membolehkannya tinggal di negara ini secara sah sehingga “tuntutan keadilannya selesai”.
Sambil menegaskan bahawa Sabri mungkin tidak mempunyai dana untuk kerap berulang-alik apabila diperlukan bagi kes itu, mereka berkata, dia sedang mempertimbangkan untuk merayu kepada Mahkamah Rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi pada 23 Ogos.
Antara 21 NGO yang menandatangani kenyataan itu termasuk Aliran, Kesatuan Pekerja Industri Perkayuan Sabah, North South Initiative, dan Rakyat Malaysia Menentang Hukuman Mati dan Penyeksaan (Madpet).
Sabri ditahan pada April lalu dan dijatuhi hukuman penjara 11 bulan serta lima sebatan oleh Mahkamah Sesyen. Sementara menunggu rayuannya didengar, dia disebat di penjara Tawau pada 23 Jun lepas.
Mahkamah Tinggi Tawau membebaskannya pada Julai selepas peguamnya membuktikan dia mempunyai pasport Indonesia yang sah dan pas kerja daripada majikannya.