
Katanya, Umno tidak boleh menerima perkara itu memandangkan calon berkenaan menang atas tiket dan titik peluh jentera parti.
“Antara banyak sebab kenapa kami tak berpakat dengan PN ialah perkara ini. Kerana ‘demand’ (tuntutan) PN itu merangkumi suatu tuntutan bahawa sesiapa yang melompat harus dihormati sebagai ‘incumbent’ (penyandang) dan tidak diganggu,” katanya dalam Facebook.
Beliau berkata demikian ketika menjawab kenyataan Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man, dalam wawancara ringkas yang dimuat naik dalam Facebook miliknya. Dalam video pendek itu, Tuan Ibrahim menyentuh berhubung sikap Umno menolak kerjasama dengan Bersatu.
Shahril ketika mengulas lanjut, berkata Umno bukan “gila kuasa” kerana lumrah bagi parti politik untuk menang kerusi.
Katanya, sekiranya mengguna pakai formula Tuan Ibrahim supaya penyandang tidak diganggu, sepatutnya PAS tidak perlu meletakkan calonnya bertanding di kerusi dimenangi Amanah.
“PRU13 YB Mahfuz Omar menang di Pokok Sena atas tiket PAS. YB Dr Mujahid Yusof Rawa menang di Parit Buntar atas tiket PAS. Sama juga YB Khalid Samad dan YB Hanipa Maidin.
“Kemudian 2015 mereka keluar parti masuk Amanah. Lalu ‘dilanggar’ juga oleh PAS semasa PRU14 2018 di tempat sama. Tiada siapa yang tuduh PAS penting diri atau penting kuasa. Atau cuba memaksa PAS beri laluan demi ‘kemaslahatan’ lebih besar,” katanya sambil menambah situasi itu sama seperti Umno dan Bersatu.
Mengulas kenyataan Tuan Ibrahim yang mahu Umno “melihat kerangka besar”, Shahril mempersoalkan sikap PAS yang tidak pernah bercakap hendak bekerjasama dengan Amanah untuk pilihan raya.
“Mereka juga ada peranan dalam kerangka besar itu (kalau ikut logik kerangka besar). Sama-lah kami tak akan bercakap kerjasama dengan Bersatu,” katanya.