Suaram mahu IPCC ambil alih siasat kematian dalam tahanan

Suaram mahu IPCC ambil alih siasat kematian dalam tahanan

IPCC diluluskan 26 Julai lalu bertujuan mempertingkatkan integriti, mengurangkan salah laku dan meningkatkan keyakinan orang ramai terhadap polis.

Pengarah Eksekutif Suara Rakyat Malaysia (Suaram) Sevan Doraisamy menggesa inkues mandatori dijalankan segera bagi semua kematian dalam tahanan. (Gambar Freepik)
PETALING JAYA:
NGO hak asasi manusia menggesa Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) yang diluluskan Dewan Rakyat Julai lalu, mengambil alih siasatan kes kematian dalam tahanan polis.

Pengarah Eksekutif Suara Rakyat Malaysia (Suaram), Sevan Doraisamy, berkata langkah itu akan mengesahkan keberkesanan, kebebasan serta kesaksamaan dalam siasatan kes seumpama itu.

“Keadilan yang dilengahkan adalah keadilan yang dinafikan. polis perlu menjadi lebih telus dan terbuka dalam pengurusan kematian dalam tahanan, sentiasa mengemas kini status dan perkembangan siasatan untuk memastikan ahli keluarga dan pihak umum memahami usaha-usaha polis,” katanya dalam kenyataan.

IPCC diluluskan 26 Julai lalu bertujuan mempertingkatkan integriti, mengurangkan salah laku dan meningkatkan keyakinan orang ramai terhadap pasukan keselamatan itu.

Sevan sebelum itu merujuk secara khusus kes kematian dalam tahanan ke-20 yang berlaku, baru-baru ini, serta membantah undang-undang penahanan tanpa bicara.

Menurutnya, Langkah-langkah Pencegahan Khas (LLPK) membenarkan penahanan tanpa bicara selama 60 hari, bukan sahaja mendedahkan tahanan kepada risiko penderaan, salah laku atau kecuaian, malah mereka tidak mempunyai platform mengadu masalah dihadapi.

Jelasnya, walaupun Unit Siasatan Jenayah Kematian dalam Tahanan (USJKT) ditubuhkan pada awal tahun, tetapi tiada penambahbaikan mengenai isu itu, selain menyifatkan siasatan diambil terlalu lama.

Tambahnya, dalam suku pertama tahun ini, terdapat 14 kes kematian dalam tahanan dengan USJKT gagal memberi sebarang maklumat berhubung perkembangan siasatan kes terbabit.

“Tiada sesiapa kecuali polis sendiri yang tahu cara operasi atau prosedur polis dan USJKT dalam siasatan dan pengendalian kematian dalam tahanan. USJKT gagal memberi keyakinan kepada masyarakat bahawa siasatan mereka adalah bebas, tidak menerima tekanan atau campur tangan daripada pihak atasan,” kata Sevan.

Beliau turut menggesa inkues mandatori dijalankan segera bagi semua kematian dalam tahanan untuk mengelakkan pengubahan bukti dan pemalsuan tempat kejadian jenayah.

“Ia adalah cara yang paling sesuai dan berkesan di sisi undang-undang untuk mencari kebenaran serta menentukan punca kematian sama ada ia melibatkan unsur jenayah, kecuaian atau faktor kesihatan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.