Segera tubuh RCI siasat skandal Pembinaan PFI, gesa TI-Malaysia

Segera tubuh RCI siasat skandal Pembinaan PFI, gesa TI-Malaysia

Presidennya Muhammad Mohan berkata SPRM perlu membersihkan nama GLC itu sekiranya siasatan mendapati tiada kesalahan dilakukan.

Presiden TI-Malaysia, Muhammad Mohan, berkata SPRM harus membersihkan nama GLC itu dengan penemuan mereka.
PETALING JAYA:
Transparency International Malaysia (TI-Malaysia) menggesa kerajaan menubuhkan suruhanjaya siasatan diraja (RCI) berkait skandal berbilion ringgit membabitkan syarikat berkaitan kerajaan (GLC), Pembinaan PFI Sdn Bhd.

Presiden TI-Malaysia, Muhammad Mohan, berkata Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) perlu membersihkan nama GLC itu sekiranya siasatan mendapati tiada kesalahan dilakukan bagi menangkis penemuan Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4) yang mengaitkan ia dengan penggunaan sumber awam.

“Apabila inisiatif ‘pembiayaan swasta’ ini dijamin dan dibiayai oleh agensi kerajaan, dan pembiayaan disediakan oleh bank yang kebanyakannya dimiliki oleh syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC); kita mesti akan tertanya, adakah projek tersebut dipanggil sebagai projek ‘swasta’, hanya untuk mengelakkan akauntabiliti?

“Jika SPRM telah menjalankan siasatan menyeluruh ke atas kes itu dan mendapati tiada kesalahan yang dilakukan, malah bercanggah dengan semua penemuan C4 (menggunakan sumber awam), maka SPRM harus membersihkan nama GLC tersebut dengan penemuan mereka,” katanya dalam kenyataan.

Pembinaan PFI Sdn Bhd merupakan GLC yang dilapor ditubuhkan bagi pelaksanaan inisiatif pembiayaan swasta (PFI).

C4 baru-baru ini mendedahkan Pembinaan PFI, syarikat yang tidak mempunyai kakitangan pengurusan, dan hanya dikendalikan pengarahnya sahaja mendapat pinjaman berjumlah RM30 bilion daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP).

Dalam laporannya, C4 menyatakan, dana diraih Pembinaan PFI diperoleh dalam dua peringkat. Peringkat pertama, perjanjian pertama (PFI 1), pada 2007, bernilai RM20 bilion daripada KWSP, manakala peringkat kedua (PFI 2) pada 2012, berjumlah RM6.037 bilion daripada KWSP dan RM3.963 bilion daripada KWAP.

Cagaran bagi pinjaman itu adalah blok tanah kerajaan yang disewakan kepada Pembinaan PFI oleh Pesuruhjaya Tanah Persekutuan.

Tanpa pendapatan, Pembinaan PFI kemudian menyewakan semula bidang tanah sama kepada Pesuruhjaya Tanah Persekutuan dengan jumlah RM29 bilion untuk membayar balik pinjaman daripada KWSP.

SPRM mula menyiasat syarikat itu pada 2018, susulan temu bual dengan Ahli Parlimen Bangi Ong Kian Ming, namun tiada perkembangan berhubung siasatan sejak itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.