
Beliau berkata, keputusan pengaktifan JPBD itu dicapai dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP) yang dipengerusikannya hari ini serta dihadiri Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali, menteri besar dan ketua menteri, setiausaha kerajaan negeri selaku pengerusi jawatankuasa pengurusan bencana negeri (JPBN) serta agensi terlibat.
“Ini kerana JPBD mempunyai fungsi penting untuk melaksanakan kerja-kerja menyelamat serta penyampaian bantuan di lokasi bencana manakala Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dan JPBN menyelaras di peringkat pusat serta negeri,” katanya dalam kenyataan.
Musim MTL kebiasaannya mengakibatkan hujan lebat dan menyebabkan banjir besar terutama di negeri pantai timur.
Menurut laporan kesiapsiagaan Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia), fasa peralihan Monsun akan bermula pertengahan September hingga November. MET Malaysia menjangkakan MTL 2022/2023 bermula pada November 2022 hingga Mac 2023.
Kelantan, Terengganu dan Pahang dijangka mengalami hujan lebat monsun bermula November hingga Disember 2022, manakala Johor, Sabah dan Sarawak dijangka berhadapan hujan lebat monsun bermula Disember 2022 hingga Januari 2023.
Bagi aspek pengurusan mangsa, Ismail berkata, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah bersiap sedia untuk mengaktifkan 6,010 pusat pemindahan sementara (PPS) di seluruh negara yang mampu menempatkan 1,620,855 mangsa.
Beliau berkata, kerajaan memperuntukkan RM2.59 juta untuk menaik taraf kemudahan asas dan fasiliti di semua PPS seperti penyediaan bilik mandi serta tandas.
“Kementerian Pendidikan diarahkan supaya asrama sekolah yang tidak dihuni pelajar ketika bencana berlaku, digunakan oleh orang ramai yang terjejas khususnya untuk memberi keselesaan kepada warga emas, anak-anak kecil dan wanita,” katanya.
“JKM juga perlu menyediakan makanan retort dalam tempoh 24 jam pertama, keperluan bayi dan warga emas seperti lampin pakai buang untuk mangsa bencana yang dipindahkan ke PPS,” katanya.
Ismail memaklumkan, Nadma telah mengagihkan 59,350 kit makanan dan 127,272 khemah kubikel bagi memastikan kelancaran pengurusan penempatan di PPS dan kebajikan mangsa apabila berlakunya bencana.
“JPBN dan JPBD perlu bersedia lebih awal bagi memastikan bantuan bekalan sampai di semua lokasi yang terlibat, bagi mengelakkan keadaan lebih sukar sekiranya jalan terputus dan sebagainya,” katanya.
Ismail berkata, RM8 juta diperuntukkan untuk pengurusan pengoperasian bencana MTL 2022/2023 kepada JPBN untuk kegunaan 160 daerah, dan kerajaan juga memperuntukkan RM4.8 juta bagi menyediakan 320 buah bot fiber bersama dengan enjin untuk daerah terbabit sebagai usaha memperkasa peranan komuniti sebagai responder awal ketika berlakunya bencana.
Beliau berkata, kerajaan juga menggerakkan 22,622 aset air seperti bot, treler bot dan jet ski milik semua agensi dari seluruh negara untuk menghadapi musim monsun ini.
“Semua aset-aset ini perlu dikoordinasi dengan sebaik mungkin supaya kerja-kerja menyelamat dilaksanakan dengan berkesan,” katanya.
Menurutnya JPBN serta JPBD juga perlu memastikan sistem amaran awal bencana terutama di lokasi yang sering dinaiki air berfungsi dengan baik.
Katanya lagi, mesyuarat juga bersetuju supaya bunyi amaran awal berbeza dengan bunyi siren yang lain seperti ambulans dan kereta peronda polis bagi mengelakkan kekeliruan.
Menurutnya, seluruh Keluarga Malaysia khususnya yang tinggal di kawasan rendah dan terdedah dengan risiko banjir diminta supaya sentiasa peka dengan amaran awal bencana dan berpindah dengan kadar segera sekiranya mendapat arahan daripada pihak berkuasa.
“Pengumuman berpindah akan turut dibuat oleh pihak berkuasa dari semasa ke semasa melalui sistem pembesar suara,” katanya yang juga mahu semua agensi terlibat khususnya di peringkat negeri dan daerah lokasi bencana supaya memastikan kelancaran bantuan kepada Keluarga Malaysia yang terjejas dengan penyelarasan komunikasi yang cekap dan efisien.
Ismail berkata, secara keseluruhannya, 79,549 pegawai dan anggota agensi keselamatan serta penyelamat di semua peringkat berada dalam keadaan bersiap siaga sepenuhnya dengan sokongan pelbagai aset.
Dalam usaha memantapkan kesiapsiagaan Keluarga Malaysia, 155 program Pengurusan Risiko Bencana Berasaskan Komuniti (CBDRM) yang melibatkan 12,534 peserta yang terdiri daripada ketua komuniti, belia dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dilaksanakan.