Najib tak pernah saman AmBank ketika jadi pemegang akaun, pengurus bank beritahu mahkamah

Najib tak pernah saman AmBank ketika jadi pemegang akaun, pengurus bank beritahu mahkamah

Pengurus bank itu memberitahu Najib Razak tidak pernah memfailkan sebarang tuntutan mahkamah ketika menjadi pemegang lima akaun antara 2011 dan 2015.

Pengurus Cawangan AmBank Jalan Raja Chulan, R Uma Devi berkata, penyata bulanan dihantar kepada Najib Razak yang menyenaraikan semua transaksi melalui lima akaun miliknya.
KUALA LUMPUR:
Seorang pegawai AmBank memberitahu Mahkamah Tinggi dalam perbicaraan 1MDB Najib Razak bahawa bekas perdana menteri itu tidak pernah memfailkan sebarang tuntutan mahkamah terhadap bank berkenaan ketika menjadi pemegang akaun.

Pengurus Cawangan AmBank Jalan Raja Chulan, R Uma Devi memberitahu perkara itu ketika disoal Pendakwa Raya Ad Hoc Gopal Sri Ram.

“Adakah tertuduh (Najib) memfailkan sebarang prosiding (mahkamah) terhadap bank kerana salah mengendalikan akaunnya dari 2015 hingga 2018,” soal Sri Ram.

Dalam jawapannya, Uma berkata, Najib tidak memfailkan sebarang tuntutan mahkamah terhadap bank dalam tempoh itu.

Najib memegang lima akaun dengan AmBank antara 2011 dan 2015.

Akaun bank yang berakhir dengan angka ‘481’ dan akaun semasa yang berakhir dengan ‘694’ dibuka pada 13 Jan 2011. Ia ditutup pada 26 Ogos 2013.

Tiga lagi akaun – berakhir dengan ‘880’, ‘906’ dan ‘898’ – dibuka kemudian pada 31 Julai 2013 dan ditutup pada 9 Mac 2015.

Uma memberitahu mahkamah bahawa AmBank menghantar penyata bank bulanan kepada semua pelanggan mereka, termasuk Najib, yang menyenaraikan semua transaksi dalam akaun mereka.

“Tidak ada pertikaian atau aduan (berhubung) akaunnya,” katanya.

Najib memfailkan saman terhadap bekas pengurus perhubungannya Joanna Yu dan AmBank pada Disember 2019, mendakwa mereka telah melanggar kewajipan untuk melindungi privasi di bawah undang-undang perbankan, termasuk Akta Perkhidmatan Kewangan dan Akta Bank dan Institusi Kewangan yang kini dimansuhkan.

Beliau mendakwa bahawa Yu telah memaklumkan butiran empat daripada lima akaun banknya kepada ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho, atau Jho Low, yang menurutnya tidak diberi kuasa untuk menguruskan akaun itu.

Beliau turut mendakwa bahawa Yu bertindak atas nasihat Low, termasuk menggunakan nama alternatif untuk akaun 694, 880, 898 dan 906 miliknya, mendapatkan nasihat mengenai kelulusan cek di bawah akaun tersebut dan mengambil langkah aktif untuk menyembunyikan penyata akaun bank daripadanya.

Bagaimanapun, Mahkamah Rayuan pada Januari membatalkan saman Najib terhadap Yu dan Ambank, dengan mengatakan saman itu “tidak difailkan secara tulen untuk tujuan mendapatkan ganti rugi tetapi pada hakikatnya (adalah) serangan kolateral terhadap apa yang telah berlaku dan telah diselesaikan dalam kes SRC International”.

Yu adalah salah seorang daripada saksi dalam kes SRC International. Dia dijadualkan untuk memberi keterangan dalam perbicaraan 1MDB nanti.

Najib dibicarakan atas 25 pertuduhan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram berhubung dana 1MDB berjumlah RM2.28 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun AmBank miliknya antara Februari 2011 dan Disember 2014.

Bekas perdana menteri itu yang dibawa ke Penjara Kajang untuk menjalani hukuman kes rasuah SRC International bulan lalu, hadir ke mahkamah hari ini.

Sebelum pendengaran bermula hari ini, Sri Ram memberitahu mahkamah bahawa Najib perlu berjumpa doktor pada tengah hari.

“Saya telah dimaklumkan oleh pegawai penjara bahawa ubat tekanan darah tertuduh telah berubah dan dia telah mengalami kesan buruk,” katanya sambil menggesa mahkamah mengadakan perbicaraan separuh hari.

Hakim perbicaraan Collin Lawrence Sequerah membenarkan permintaan pendakwaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.