Kes amang seksual: KPM perinci kriteria pilih penceramah ke sekolah

Kes amang seksual: KPM perinci kriteria pilih penceramah ke sekolah

Menteri Pendidikan Radzi Jidin mengulas berhubung dakwaan mangsa amang seksual membabitkan penceramah bebas yang mengenali mereka dalam program motivasi sekolah.

Radzi Jidin berkata penyelarasan dan pemantauan menyeluruh perlu dilakukan bagi memastikan kriteria tertentu diguna pakai sebelum menjemput penceramah bebas ke sekolah.
PETALING JAYA:
Garis panduan pemilihan penceramah bagi program motivasi anjuran sekolah di seluruh negara akan diperincikan susulan kes amang seksual didakwa membabitkan penceramah bebas, kata Menteri Kanan Pendidikan Radzi Jidin.

Beliau berkata, pihaknya akan meneliti semula garis panduan dan pekeliling sedia ada bagi memastikan perkara tidak diingini berlaku terutama membabitkan kes amang seksual terhadap murid.

“Satu penyelarasan dan pemantauan menyeluruh perlu dilakukan bagi memastikan kriteria tertentu diguna pakai sebelum menjemput penceramah bebas ke sekolah.

“Kalau kita perincikan semua perkara nanti kata KPM (Kementerian Pendidikan) nak kawal semua, tapi kalau tiada penyelarasan dan pantauan akan jadi masalah kelak seperti yang dibangkit,” katanya menurut Kosmo.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kes amang seksual yang dilaporkan baru-baru ini membabitkan seorang penceramah bebas.

Sebelum ini, dilaporkan seorang penceramah didakwa melakukan amang seksual terhadap remaja sekolah berumur bawah 18 tahun, yang dikenalinya menerusi program motivasi sekolah.

Setakat ini, sebanyak enam laporan polis dibuat terhadap suspek iaitu empat di Selangor dan dua lagi di Seremban, Negeri Sembilan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.