
Seorang pembantu Najib berkata, Ahli Parlimen Pekan itu menjalani ujian kolonoskopi pada Sabtu, di mana doktor menemui ulser. Keadaan kesihatan yang dialami Najib adalah masalah berulang sejak lebih 15 tahun lalu, membawa kepada penemuan ulser baharu.
Pegawai khas Najib, Mukhlis Maghribi, juga berkata Najib pernah dimasukkan ke hospital, termasuk dimasukkan ke unit rawatan rapi sebelum ini berhubung masalah sama.
“Semalam, doktor di Hospital Kuala Lumpur membuat biopsi yang menemukan pendarahan berlaku dengan beberapa ulser terpaksa ‘diklip’ untuk menghentikan pendarahan,” katanya dalam kenyataan.
“Najib memohon untuk pemerhatian di HKL tetapi permintaanya dinafikan dengan doktor membenarkannya keluar (discaj), menukar ubat-ubatannya daripada ubat biasa yang diambilnya selama bertahun-tahun, dan menghantarnya pulang ke Penjara Kajang.”
Pertukaran ubat tersebut dikatakan menyebabkan tekanan darah Najib meningkat, mendorong pihak pendakwaan memphon perbicaraan dihadapinya dalam kes 1MDB dijalankan setengah hari bagi membolehkan beliau dibawa ke Hospital Kajang.
“Atas dasar kemanusiaan, keluarga Najib merayu kepada Jabatan Penjara, hospital dan kerajaan pimpinan Ismail Sabri Yaakob untuk melakukan tindakan yang betul, dan membenarkan Najib diberi rawatan serta pemerhatian perubatan sewajarnya,” katanya.
Ketika prosiding pagi ini, Pendakwa Ad Hoc Gopal Sri Ram berkata, kesihatan Najib “agak teruk” disebabkan kesan buruk daripada perubahan dalam ubat hipertensi.
Beliau telah meminta perbicaraan setengah hari kerana Najib perlu dibawa ke Hospital Kajang, pada 2 petang.
Hakim perbicaraan Collin Lawrence Sequerah membenarkan permintaan pihak pendakwaan.
Najib sedang dibicarakan atas 25 pertuduhan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram membabitkan dana 1MDB berjumlah RM2.28 bilion yang didepositkan ke dalam akaun AmBank miliknya, antara Februari 2011 dan Disember 2014.
Bekas perdana menteri itu, yang dibawa ke penjara Kajang untuk menjalani hukuman berhubung kes rasuah SRC International bulan lalu, hadir di mahkamah hari ini.