RUU sumbangan politik dibentang pada mesyuarat Dewan Rakyat akan datang

RUU sumbangan politik dibentang pada mesyuarat Dewan Rakyat akan datang

Jemaah Menteri telah bersetuju secara prinsip dengan penggubalan RUU tersebut, kata Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Menurut Wan Junaidi Tuanku Jaafar, RUU pendanaan politik akan cuba dibentangkan pada Mesyuarat Ketiga, Penggal Kelima, Parlimen ke-14 di Dewan Rakyat. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Rang undang-undang (RUU) berhubung sumbangan politik akan dibentangkan pada mesyuarat Dewan Rakyat seterusnya, yang akan bermula bulan depan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, Jemaah Menteri telah bersetuju secara prinsip dengan penggubalan RUU tersebut.

“Penggubalan RUU ini akan mengambil kira pandangan pihak-pihak berkepentingan termasuk parti politik melalui sesi libat urus yang diadakan.

“RUU ini akan cuba dibentangkan pada Mesyuarat Ketiga, Penggal Kelima, Parlimen ke-14 di Dewan Rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Wan Junaidi berkata, beliau telah membentangkan skop dasar bagi rang undang-undang itu dalam mesyuarat Jemaah Menteri, pada 7 Sept, dan akan menyusul dengan keputusan supaya ia digubal di mana “pengawal sumbangan politik” dijadikan sebagai entiti bebas bagi kawal selia sumbangan politik di negara ini.

Beliau menambah, pandangan Kabinet juga akan menyusul agar kerangka perundangan dicadangkan dalam rang undang-undang berkenaan dikemukakan kepada Jawatankuasa Teknikal Memorandum Persefahaman Transformasi dan Kestabilan Politik untuk diperhalusi sebelum dibentangkan dalam Parlimen.

Bulan lalu, Wan Junaidi berkata, draf rang undang-undang pendanaan politik akan disegerakan supaya dapat dibentangkan dalam persidangan Dewan Rakyat, pada Oktober.

Katanya, penyediaan draf rang undang-undang secepat mungkin juga membolehkan semua pemegang taruh dirujuk mengikut garis masa disediakan Pusat Governans, Integriti dan Antirasuah Nasional (GIACC).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.