OKT ‘mati mengejut’ di lokap Shah Alam

OKT ‘mati mengejut’ di lokap Shah Alam

Lelaki berusia 33 tahun itu ditemui dalam keadaan terbaring dan tidak sedarkan diri di lokap itu, kira-kira 4.59 pagi tadi.

Polis mengklasifikasikan kematian itu sebagai mati mengejut dengan Unit Siasatan Jenayah dan Kematian Dalam Tahanan (USJKT), Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (IPS) serta pihak Bukit Aman akan menjalankan siasatan susulan.
PETALING JAYA:
Seorang lelaki tempatan meninggal dunia ketika dalam tahanan di lokap berpusat Shah Alam meninggal dunia, awal pagi tadi.

Ketua Komunikasi Korporat Polis A Skandaguru, berkata orang kena tahan (OKT) berusia 33 tahun itu ditemui dalam keadaan terbaring dan tidak sedarkan diri, di lokap berkenaan, kira-kira 4.59 pagi.

Katanya, polis kemudian menghubungi pihak hospital bagi mendapatkan bantuan, namun lelaki terbabit disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan dari Hospital Shah Alam, kira-kira 5.20 pagi.

“Lelaki berkenaan telah ditangkap pada 29 Jul lalu dan ditempatkan di lokap berpusat Shah Alam sementara siasatan dilakukan mengikut Seksyen 6(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Langkah-langkah Pencegahan Khas (LLPK) 1985,” katanya dalam kenyataan.

Skandaguru berkata, mayat tahanan terbabit telah dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah di Klang dan dijadualkan akan dibedah siasat bagi mengetahui punca kematiannya, esok.

“Setakat ini, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan Unit Siasatan Jenayah dan Kematian Dalam Tahanan (USJKT), Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (IPS) serta pihak Bukit Aman akan menjalankan siasatan berkaitan kes itu,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.