Dekriminalisasi bunuh diri akan dibentang ke Kabinet, kata KJ

Dekriminalisasi bunuh diri akan dibentang ke Kabinet, kata KJ

Menteri kesihatan itu berkata kertas cadangan bagi tujuan itu sudah di peringkat akhir di Jabatan Peguam Negara.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin, berkata bunuh diri bukan jenayah, tetapi isu mental.
PETALING JAYA:
Kertas cadangan dekriminalisasi bunuh diri dalam peringkat akhir di Jabatan Peguam Negara sebelum dibentangkan kepada Kabinet, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Katanya, perbuatan atau cubaan membunuh diri tidak wajar untuk diletakkan mengikut kategori jenayah, sebaliknya ia wajar ditangani dengan kaedah intervensi klinikal.

“Semalam (10 Sept) merupakan Hari Pencegahan Bunuh Diri Sedunia. Sesuatu yang ingin saya lakukan sejak menjadi menteri kesihatan ialah dekriminalisasi bunuh diri. Ada orang bertanya di media sosial apa jadi dengan kertas Kabinet yang saya umumkan sebelum ini.

“Saya rasa ia kini di peringkat akhir (di AGC) untuk disiapkan, sebelum dibentangkan ke Kabinet. Dekriminalisasi bunuh diri sahaja bukanlah penyelesaian tuntas, tetapi ia adalah satu kenyataan dengan niat. Ini bukan jenayah, tetapi satu isu mental,” katanya menurut Astro Awani.

Khairy berkata demikian ketika berucap melancarkan Konferens Perubatan Psikologi Malaysia 2022, serta Garis Panduan Klinikal untuk Pengurusan Dementia (Edisi Ketiga), dan Pengurusan Skizofrenia (Edisi Kedua).

Beliau yang juga Ahli Parlimen Rembau, ketika mengulas lanjut, berkata pihak kementerian sudah mula melatih pemberi respons pertama seperti polis dan bomba mengenai cara menangani kes masalah mental dan cubaan bunuh diri.

“Supaya mereka lebih arif dan cekap untuk menangani masalah itu. Kerana ada cara yang lebih sesuai untuk memberi respons terhadap kes sebegini. Jadi ini adalah sesuatu yang besar, dan kita akan terus mengadakan latihan ini,” katanya.

Selain itu, Khairy berkata, beliau juga berjaya mendapatkan dana bagi Pusat Kesihatan dan Pembangunan Mental Masyarakat, yang diyakini mampu membantu petugas klinik, serta melihat strategi tentang kaedah menangani isu mental dengan lebih berkesan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.