Aktifkan bilik gerakan, pantau infrastruktur, KKR siap siaga hadapi banjir besar

Aktifkan bilik gerakan, pantau infrastruktur, KKR siap siaga hadapi banjir besar

Menteri Kerja Raya Fadillah Yusof berkata, pihaknya turut akan menyediakan bantuan kepada pasukan penyelamat di peringkat negeri dan daerah.

MetMalaysia meramalkan negara akan mengalami hujan lebat berterusan mulai pertengahan November ini yang membawa kepada banjir besar.
KEPALA BATAS:
Kementerian Kerja Raya (KKR) telah bersiap siaga bagi menghadapi bencana banjir susulan ramalan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) bahawa banjir besar akan melanda beberapa negeri di Semenanjung menjelang November ini.

Menteri Kerja Raya Fadillah Yusof berkata, berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan, Bilik Gerakan Bencana KKR di ibu pejabat akan segera beroperasi disusuli daerah terlibat bagi memantau perkembangan banjir dari semasa ke semasa.

ā€œDi peringkat Jabatan Kerja Raya (JKR) dan KKR, kita nak jaga infrastruktur dan perhubungan jalan agar tidak terputus khususnya bila berlaku banjir besar,ā€ katanya.

ā€œ(Ini bagi) memastikan ada laluan yang boleh dilalui pasukan penyelamat dan pasukan kecemasan untuk memberi bantuan dan sebagainya.ā€

Beliau ditemui selepas merasmikan projek pembinaan jalan dua lorong kepada empat lorong dari Permatang Pak Elong hingga ke Jambatan Merdeka, yang turut dihadiri Ketua Setiausaha KKR Wan Ahmad Uzir Wan Sulaiman dan Ketua Pengarah Kerja Raya Mohamad Zulkefly Sulaiman.

Media sebelum ini melaporkan ramalan MetMalaysia bahawa negara akan mengalami hujan lebat berterusan mulai pertengahan November ini yang membawa kepada banjir besar pada penghujung bulan berkenaan.

Cuaca yang dialami dijangka memberi impak lebih signifikan disebabkan Monsun Timur Laut yang aktif pada tempoh itu, dengan risiko berlaku hujan lebat berterusan serta banjir berskala besar.

Mengulas lanjut, Fadillah berkata, KKR juga akan membuat pemantauan berterusan di jalan-jalan terkesan banjir dan menyalurkan maklumat terkini kepada pengguna jalan raya bagi memastikan mereka tidak menggunakan laluan terjejas.

ā€œSelain itu, kita akan pantau serta menyediakan bantuan, termasuk kenderaan, kepada pasukan penyelamat sama ada di peringkat daerah atau negeri,ā€ katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.