Terima atau tolak Muda, PH putuskan dalam masa terdekat, kata Anwar

Terima atau tolak Muda, PH putuskan dalam masa terdekat, kata Anwar

Setakat ini, PH belum mengadakan sebarang perbincangan dengan semua pimpinan komponen, kata Anwar Ibrahim.

Presiden PH Anwar Ibrahim menghadiri ceramah Angkatan Muda di Taman Medan malam tadi.
PETALING JAYA:
Pakatan Harapan (PH) akan memuktamadkan keputusan sama ada menerima atau menolak penyertaan Muda ke dalam gabungan itu bagi menghadapi pilihan raya umum ke-15 (PRU15) dalam masa terdekat.

Pengerusi PH Anwar Ibrahim berkata, setakat ini gabungan itu belum mengadakan sebarang perbincangan antara semua pimpinan komponen, yang terdiri daripada PKR, DAP, Amanah dan Upko, menerusi mesyuarat Majlis Presiden berhubung perkara itu.

“Belum ada perbincangan (dalam PH tentang penyertaaan Muda) setakat ini. Ia akan dibincangkan secepat mungkin,” katanya selepas menghadiri ceramah Angkatan Muda di Taman Medan di sini malam tadi.

Pada 6 Sept, Presiden Muda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, Muda berhasrat menyertai PH menjelang PRU15.

Katanya, Muda juga terbuka mengadakan perbincangan rasmi dengan Majlis Presiden PH berhubung perkara itu, selain menyasarkan bertanding kawasan Parlimen tidak lebih 15 kerusi.

Susulan itu, Ketua Penerangan PKR Selangor Halimey Abu Bakar memberi peringatan kepada Muda agar tidak berharap laluan mudah untuk bertanding di kerusi PH.

“Berhenti berharap memperoleh laluan mudah untuk bertanding di kerusi dalam negeri yang telah dimenangi PH seperti Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang.

“Sebaliknya, fokus gerak kerja di kawasan pantai timur seperti Kelantan, Terengganu dan Pahang, kawasan luar bandar serta Sabah dan Sarawak,” katanya.

Timbalan Ketua Penerangan PKR Pusat Razeef Rakimin pula mahu Muda terus memutuskan sebarang kerjasama dengan Warisan memandangkan parti itu tidak lagi mesra PH.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.