Rundingan kerusi PH di beberapa negeri selesai, kata Loke

Rundingan kerusi PH di beberapa negeri selesai, kata Loke

Setiausaha agung DAP itu berkata, beliau telah dimaklumkan yang gabungan pembangkang itu telah memuktamadkan rundingan kerusi di tiga hingga empat negeri.

Setiausaha Agung DAP Anthony Loke Siew Fook berkata, Pakatan Harapan telah memuktamadkan rundingan kerusi di tiga hingga empat negeri.
PETALING JAYA:
Setiausaha Agung DAP Anthony Loke Siew Fook berkata, pembahagian kerusi Pakatan Harapan (PH) untuk pilihan raya umum ke-15 (PRU15) telah dimuktamadkan di beberapa negeri di Semenanjung.

Beliau juga telah dimaklumkan yang gabungan pembangkang itu telah memuktamadkan rundingan kerusi di tiga hingga empat negeri.

Loke turut mendedahkan, bahawa Majlis Presiden PH telah menerima permohonan rasmi daripada Muda untuk menyertai gabungan itu, hari ini.

“Kita akan bincangkan permohonan itu pada mesyuarat Majlis Presiden akan datang dan kita berharap keputusan mengenainya akan dibuat dalam masa terdekat ini.

“Kami melihat hasrat parti yang mahu menyertai PH ini sebagai satu perkara yang positif dan ia menunjukkan gabungan ini mempunyai satu keistimewaan dan daya tarik,” katanya seperti dilaporkan The Star, hari ini.

Loke berkata, rundingan kerusi yang kini masih berjalan juga tidak akan terjejas sekiranya Muda menyertai PH kerana rundingan lanjut boleh dibuat selepas itu.

Katanya, PH tidak boleh menunggu sehingga keputusan dibuat mengenai Muda selesai untuk membuat rundingan mengenai kerusi.

“Peruntukan kerusi untuk komponen sedia ada akan diteruskan dan apabila keputusan akhir telah dibuat (mengenai permohonan Muda), kita akan menjalankan rundingan lanjut (kerusi untuk Muda),” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.