Polis nafi mesej tular culik kanak-kanak di pusat tuisyen

Polis nafi mesej tular culik kanak-kanak di pusat tuisyen

Ketua Polis Johor, Kamarul Zaman Mamat berkata, semakan pesanan mesej di WhatsApp yang mendakwa berlaku kejadian tersebut adalah palsu.

Tiada sebarang laporan dibuat mengenai dakwaan berlakunya kes culik di sebuah pusat tuisyen seperti yang tular di WhatsApp, menurut Ketua Polis Johor, Kamarul Zaman Mamat. (Gambar Bernama)
JOHOR BAHRU:
Polis menafikan berlaku kejadian penculikan membabitkan seorang kanak-kanak lelaki di sebuah pusat tuisyen seperti yang tular menerusi aplikasi WhatsApp, hari ini.

Ketua Polis Johor, Kamarul Zaman Mamat berkata, hasil semakan mendapati pesanan mesej yang mendakwa kejadian tersebut berlaku di daerah ini adalah palsu dan tiada sebarang laporan dibuat mengenai insiden itu.

Beliau berkata, hasil siasatan lanjut mendapati kanak-kanak berusia sembilan tahun itu berada di rumah bersama bapanya.

“Hal ini (perbuatan penyebaran mesej) dilihat sebagai satu cubaan untuk menimbulkan ketakutan dan kebimbangan orang ramai.

“Perbuatan menyebar dan membuat spekulasi palsu adalah menyalahi undang-undang dan boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya,” katanya dalam kenyataan.

Kamarul Zaman turut menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dan menyebarkan dakwaan sedemikian yang diperoleh daripada sumber tidak sahih.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.