
Setiausaha agungnya Hamzah Zainudin berkata kandungan manifesto itu adalah inklusif untuk semua kaum.
“Perikatan Nasional telah menubuhkan jawatankuasa manifesto yang dipengerusikan Radzi Jidin dan dianggotai oleh wakil-wakil parti komponen.
Manifesto ini memberi fokus bukan sahaja kepada kestabilan politik tetapi juga kepada pembangunan ekonomi dengan memberi peluang pekerjaan kepada rakyat,” katanya selepas merasmikan Persidangan Cawangan Wanita dan Pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Labuan di Desa Tunas Hijau.
Hamzah berkata, jawatankuasa itu akan memastikan setiap kandungan dalam manifesto yang bakal dibentangkan sebelum PRU15 dapat dicapai.
Mengenai persaingan antara Bersatu dan Umno untuk menarik pengundi Melayu dalam PRU15, beliau berkata Bersatu kini semakin diterima rakyat seluruh negara khususnya di Labuan dengan melihat ramai bekas ahli Umno menyertai parti itu.
Hamzah berkata sejak Bersatu ditubuhkan enam tahun lepas, seramai lebih 600,000 telah berdaftar menjadi ahli.
“Kita akan berusaha memastikan Bersatu melahirkan ramai pemimpin unggul yang boleh datangnya dari Labuan dan negeri-negeri lain untuk membantu memimpin kerajaan,” katanya.
Hamzah turut mengumumkan peruntukan RM50,000 bagi tujuan urus tadbir bahagian dan cawangan Bersatu Labuan dan 300 bakul makanan setiap bulan kepada keluarga memerlukan di pulau bebas cukai itu.