MKT Umno belum bincang 27 kerusi kritikal

MKT Umno belum bincang 27 kerusi kritikal

Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan berkata beliau tiada maklumat berhubung kedudukan 27 kerusi berkenaan seperti didedahkan Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man.

Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan berkata Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti itu belum membuat sebarang keputusan berhubung kedudukan 27 kerusi berkenaan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Umno tidak mempunyai maklumat lanjut berhubung kedudukan 27 kerusi Parlimen yang dianggap kritikal bagi parti itu dan PAS yang memungkinkan kerjasama serta kesepakatan kedua-duanya untuk mengadakan perbincangan dan kerjasama.

Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan, berkata kedudukan 27 kerusi itu seperti didedahkan Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man, belum dibincangkan oleh Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno.

“MKT belum buat sebarang perbincangan atau pemakluman berkaitan 27 kerusi Parlimen yang didakwa kritikal itu sehingga memerlukan kerjasama atau perbincangan antara Umno dan PAS.

“Saya tak tahu ada 27 kerusi perlukan rundingan dan saya kurang pasti mengenai kerusi itu kerana belum tengok lagi (lokasi kerusi). Apa yang saya lakukan sekarang adalah turun ke negeri-negeri melihat kesiapsiagaan jentera untuk menghadapi pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

“Petang ini, saya akan ke Sabah. Sebelum ini, Pahang menjadi negeri terakhir di Semenanjung untuk saya lihat kesiapsiagaan jentera parti. Setakat ini tahap kesiapsiagaan jentera parti adalah baik,” katanya menurut Berita Harian.

Ketua Umno Negeri Sembilan itu berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Ekspo Mini Keselamatan dan Kesihatan Sempena Sambutan Hari Malaysia 2022 di Bandar Sri Sendayan, dekat Seremban.

Sebelum ini Tuan Ibrahim dipetik sebagai berkata, PAS menerusi Perikatan Nasional (PN) sedia berunding dengan BN dalam menentukan hala tuju 27 kerusi Parlimen yang dianggap kritikal pada PRU15 bagi mengelakkan pertembungan.

Katanya, selain kerusi di Selangor, terdapat beberapa kerusi negeri lain yang enggan didedahkannya terkandung dalam 27 kerusi itu yang pernah dimenangi PAS dan Umno, namun kini disandang Pakatan Harapan (PH) akibat pertembungan antara PAS dan BN.

“Kerusi ini memang memerlukan rundingan dengan BN dan sekiranya muafakat politik ini dapat dibuat, kita jangka kawasan itu dapat dimenangi semula sebagai contoh kerusi Parlimen Raub dan Bentong,” kata Tuan Ibrahim.

Semalam, Naib Presiden Umno Mahdzir Khalid, memaklumkan keputusan rundingan membabitkan 27 kerusi terbabit, termasuk kemungkinan memerlukan kerjasama antara Umno dan PAS, akan diputuskan menerusi MKT tidak lama lagi.

Terdahulu kelmarin, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan berkata, rundingan dengan PAS berhubung perkara itu perlu diberi pertimbangan bagi mengelak pertembungan yang mungkin boleh memenangkan parti lawan, namun keputusannya tertakluk kepada MKT Umno.

Sementara itu, Mohamad ketika ditanya mengenai pengagihan kerusi BN untuk PRU15 memaklumkan kepimpinan tertinggi dan rakan komponen gabungan berkenaan belum memperincikan perkara terbabit.

“Kita baru berbincang pada peringkat awal bagi memberi peluang rakan komponen BN nyatakan pendirian atau ingin meletakkan calon masing-masing. Mungkin selepas saya pergi Sabah, perkara ini akan diperincikan.

“Ahli jawatankuasa saya akan duduk dengan rakan komponen BN bagi membincangkannya,” katanya menegaskan, tiada sebarang isu berbangkit membabitkan komponen BN, iaitu MCA, MIC dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) berhubung perkara itu setakat ini.

Bagaimanapun, Mohamad memaklumkan, terdapat beberapa kerusi yang memerlukan perubahan pada PRU15 nanti.

“Ada beberapa tempat yang kita tidak pernah menang dalam beberapa pilihan raya sebelum ini, jadi kita perlu melihatnya semula, terutama dari segi strategi untuk pastikan kita menang. Keutamaan BN adalah untuk menang bagi menubuhkan kerajaan selepas PRU15,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.