
Sanusi mendakwa pihak berkuasa wilayah yang dicadangkan untuk menguruskan sumber air di Ulu Muda akan menjejaskan kedaulatan dan hak tanah negeri.
Bagaimanapun, Ramasamy berkata, termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan bahawa negara yang mempunyai kedaulatan, bukannya negeri, seperti Kedah.
“Kurangnya pemahaman Sanusi tentang Perlembagaan dan pengasingan kuasa antara kerajaan persekutuan dan negeri adalah mengelirukan atau membimbangkan.
“Ini bukan sesuatu yang diharapkan daripada ketua kerajaan negeri Kedah,” katanya dalam kenyataan.
Dalam wawancara dengan FMT semalam, Sanusi berkata, mengikut Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), perkara berkaitan tanah berada dalam skop negeri.
Sebagai respons, Ramasamy mengingatkan Sanusi bahawa hak-hak negeri telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan lama sebelum pembentukan MA63.
“Oleh itu, sebarang rujukan Sanusi kepada MA1963 mungkin tidak sesuai. Malah, beliau harus merujuk kepada Perlembagaan negara.”
Ramasamy menggesa kerajaan persekutuan melalui Kementerian Alam Sekitar dan Air agar menjalankan kajian bagi penubuhan pihak berkuasa air wilayah.
“Campur tangan dalam hal-hal konflik antara negeri adalah dalam kuasa kerajaan persekutuan,” katanya.
“Air adalah perkara strategik utama yang tidak boleh dibiarkan kepada pemimpin negeri seperti Sanusi untuk berbuat sesuka hati. Apa gunanya ada kementerian air persekutuan yang tidak mengambil inisiatif dalam menyelesaikan masalah air antara negeri?”