
Ketua Polis Perak, Mohd Yusri Hassan Basri, berkata pihaknya dimaklumkan mengenai rompakan itu kira-kira 10.15 pagi dan polis bergegas ke tempat kejadian untuk siasatan lanjut.
“Siasatan awal mendapati dua lelaki mengacukan senjata menyerupai pistol kepada tiga pekerja semasa mereka hendak membuka kedai lalu melarikan sejumlah barang kemas dan wang tunai.
“Namun ketiga-tiga mangsa tidak mengalami kecederaan semasa kejadian. Kes disiasat bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, pihaknya giat memburu dua suspek berkenaan dan orang awam yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Fadli Ahmad di 019 2500019 untuk membantu siasatan.
Tinjauan Bernama di tempat kejadian mendapati pasukan forensik sedang menjalankan siasatan di lokasi yang terletak dalam kawasan lot perniagaan.