
Francis, yang juga dikenali sebagai “Fat Leonard”, dikehendaki kerana melanggar syarat pembebasan pra-perbicaraannya, menurut USMS dalam kenyataan.
Dia melarikan diri daripada tahanan dalam rumah di San Diego Selasa lepas.
“USMS menawarkan ganjaran sehingga USD40,000 untuk maklumat yang membawa kepada penahanan Leonard Francis.
“Francis dikehendaki kerana melanggar syarat pembebasan pra-perbicaraannya. Dia disabitkan bersalah merasuah pegawai tentera laut,” kata agensi penguatkuasaan persekutuan bawah Jabatan Kehakiman (DoJ) AS itu.
Polis San Diego diminta melakukan pemeriksaan terhadap Francis, tetapi apabila mereka tiba di rumahnya, dia didapati tiada di sana.
Francis, yang mengendalikan firma kontrak tentera, Glenn Defense Marine Asia, dari Singapura, ditangkap di San Diego pada 2013 dalam operasi persekutuan.
Syarikatnya menyelenggara kapal Tentera Laut AS yang singgah di pelabuhan bawah kawalannya di seluruh Asia Tenggara. Dia didapati bersalah merasuah pegawai tentera untuk menggunakan pengaruh mereka dan mendapatkan akses kepada risikan tentera, membolehkannya memperoleh jutaan dolar daripada kontrak tentera laut.