

Bertemakan “Pandemik Dua Darjat”, festival mengetengahkan 34 filem dan dokumentari daripada pembuat filem tempatan serta antarabangsa membawa pelbagai isu dan konflik.
Pengarah Eksekutifnya Anna Har berkata, festival yang bermula sejak semalam memperjuangkan hak sama rata yang layak dimiliki oleh setiap lapisan masyarakat tanpa mengira latar belakang status.
Katanya, pemilihan filem dibuat berdasarkan isu-isu relevan antaranya pendidikan, pencerobohan dan kelemahan sistem di mana kisah-kisah yang dipaparkan mungkin tidak akan ditayangkan di mana-mana saluran arus perdana.
“Kebanyakan filem yang ditayangkan ini menceritakan apa yang berlaku kepada mereka ketika pandemik, ada dua elemen kami bawa satu tentang pandemik dan kedua tentang ketidaksamaan pandemik
“Filem yang dihasilkan ditambah dengan elemen dramatik, membuatkan kita sentiasa berfikir dan membuka perbincangan yang sihat,” katanya ketika ditemui selepas tayangan pembukaan FreedomFilmFestival semalam.
Singkap sisi gelap permulaan Covid-19
Festival anjuran Freedom Film Network (FFN) bermula dengan tayangan filem dokumentari bertajuk “In the Same Breath” arahan pengarah filem Nanfu Wang, memaparkan refleksi peribadi yang menyingkap kembali detik awal kemunculan Covid-19 yang mula dikesan di Wuhan, China.
Wang, pembikin filem kelahiran China menetap di Amerika Syarikat (AS) mendedahkan sikap rakus kerajaan yang menyekat hak bersuara rakyat demi menutup kebenaran.
Pada Januari, 2020, Wang melawat keluarganya di Wuhan, di mana ketika China masih menafikan kewujudan Covid-19, sehinggalah dia pulang ke Amerika dan mendapati wabak tersebut mula menular dengan pantas.
Bagi meneruskan siasatan, Wang bekerjasama dengan beberapa pihak media tempatan untuk membuat penggambaran di Wuhan, namun mereka berdepan pelbagai risiko untuk membuat rakaman di kawasan kawalan ketat termasuk di dalam ambulans, hospital dan tanah perkuburan.
Di sebalik propaganda yang dibuat demi menampakkan negara Komunis itu sebagai “Hero”, virus yang menular terus merampas nyawa insan tidak berdosa dan beberapa pihak yang berani bersuara “dilenyapkan” begitu sahaja.
Pemilihan filem yang tepat dan terbaik
Sementara itu, ADUN Hulu Kelang, Saari Sungib, yang juga penyokong setia FreedomFilmFestival, berkata, beliau dan keluarga setiap tahun menyertai festival amat berpuas hati filem pembuka yang ditayangkan. Ujarnya, beliau yakin setiap naskhah yang dipersembahkan mampu memberi impak kepada penonton kerana filem yang terpilih penuh dengan mesej dan pengajaran untuk membuka mata orang ramai.

“Filem yang ditayang sebagai pembuka adalah satu pilihan yang cukup baik dan tepat, saya dan keluarga memang setiap tahun akan tonton dan sokong karya-karya filem yang dipilih FreedomFilmFestival, kami komited menunjukkan sokongan kami kepada mereka,” katanya.
Festival anjuran Freedom Film Network (FFN) diadakan di PJ Live Arts, Petaling Jaya bermula 9 hingga 17 September dan orang ramai dijemput untuk turut serta.